STUART MAMPU PACU PEMASARAN MFL——UTK ONLINE/PRINT—Syazwan Msarmohdsyazwan@hmetro.com.myKuala Lumpur: Kekuatan serta pengalaman luas yang dimiliki Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, Stuart Ramalingam dalam bidang pemasaran dijangka mampu membantu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk terus mengukuhkan aspek komersial Liga Malaysia. CEO Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard Samuel berkata, memandangkan Stuart bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), maka secara tidak langsung beliau memahami apa yang diperlukan MFL terutama dalam soal penstrukturan liga. Selain itu, pengalamannya pernah terbabit secara langsung dalam soal penajaan semasa menjadi Naib Presiden Dentsu Sports seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain pengurusan Sukan Asia 2018, mampu menjadi nilai tambah tersendiri buat Stuart bagi membantu MFL. “ Pemilihan tepat bagi dalam keadaan ini kerana saya rasa sedikit sebanyak beliau memahami suasana di MFL kerana sebelum ini beliau adalah Setiausaha FAM. “ Melihat karier beliau selama ini, sememangnya Stuart ada kredibiliti yang tidak boleh disangkal kerana pernah bersama dengan syarikat besar selain organisasi bola sepak berkaitan pemasaran. “ Bukan itu sahaja, beliau juga arif mengenai aspek peningkatan sesuatu jenama dan kedua-dua aspek ini mempunyai hubung kait yang cukup rapat,”katanya. Terdahulu, MFL melalui satu kenyataan media pada Isnin mengumumkan Stuart bakal menggalas peranan CEO bermula pada 1 September ini bagi menggantikan mantan CEO Datuk Ab Ghani Hassan yang dipilih selaku Presiden MFL selepas Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan surat peletakan jawatan pada 12 Ogos lalu. Ghani berkata, keputusan melantik Stuart yang berkuatkuasa menjadi CEO MFL baharu bermula 1 September ini dilihat satu keputusan simbiosis yang bermanfaat kepada industri khususnya kepada pengurusan bola sepak tempatan. Keputusan itu dibuat selepas melihat pengalaman lebih 15 tahun yang dimiliki beliau dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan United, Anas Karimi, berkata Stuart sememangnya calon yang sesuai menggantikan Ghani. Tambahnya, mengenali Stuart, beliau sememangnya seorang yang sudah tahu selok-belok dunia bola sepak negara dan berkemampuan meneruskan rekod baiknya dari FAM ke MFL. “ Saya memang menyokong penuh pelantikan ini yang saya lihat akan berikan banyak kesan positif terhadap MFL memandangkan Stuart pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam bola sepak sehinggalah ke Fifa. “ Berdasarkan pengalaman luas dimilikinya, saya rasa beliau mampu membawa MFL ke tahap lebih baik bersama dengan Presiden badan pengurusan liga itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd