mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuching: Atlet wushu Sarawak, Stephanie Ngu Chai Ern membuktikannya sukar digugat di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak apabila membolot pingat emas ketiga di Dewan Wushu SSC, sebentar tadi.
Persembahan mantap yang dipamerkan atlet berusia 20 tahun itu membolehkannya menggungguli saingan final qiangshu wanita dengan kutipan mata tertinggi 9.606 ketika turun sebagai peserta kedua terakhir.
Walaupun pada awalnya dilihat seolah terlepas emas dalam acara terbabit, namun dia berjaya memperbaiki persembahan untuk memintas atlet lain sebelum mengakhiri saingan di tempat pertama.
Atlet Wilayah Persekutuan, Lee Cheng Wei membawa pulang perak sementara gangsa menjadi milik wakil Pulau Pinang, Tang Koh Ming dengan mengumpul 9.553 mata.
Sementara itu, Stephanie berkata, penyertaan di temasya Sukma Sarawak adalah yang terakhir buatnya sekali gus mahu meninggalkan kenangan terindah dengan memenangi lebih banyak emas buat tuan rumah.
“Ini penampilan terakhir saya di Sukma sekali gus mahu lakukan terbaik untuk kontinjen Sarawak.
“Sebenarnya tidak percaya mampu menghadiahkan tiga emas untuk Sarawak. Saya harap atlet muda Sarawak yang lain jadikan kejayaan ini sebagai peniup semangat untuk meraih kejayaan di Sukma.
“Setakat ini, tiada lagi perancangan sebaik tamat Sukma cuma akan teruskan latihan seperti biasa untuk penyertaan di peringkat lebih tinggi kelak,” katanya, ketika ditemui sebaik tamat acara final qiangshu.
Kejayaan itu menyaksikan Stephanie setakat ini memegang takhta sebagai atlet dengan kutipan emas paling banyak pada edisi kali ini.
Mengikut rekod, Stephanie sebelum ini merangkul emas dalam acara jianshu selepas menghadiahkan Sarawak emas pertama menerusi acara changquan pada Rabu lalu.
Sukma kali ini adalah penampilan keempat Stephanie selepas meraih dua pingat gangsa pada edisi 2016, serta masing-masing satu perak dan satu gangsa pada 2018 dan 2022.
Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan yang berakhir hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd