Status wuduk dengan pakaian bernajis

Status wuduk dengan pakaian bernajis

MESKIPUN pakaian digunakan dalam keadaan bernajis, wuduk yang diambil tetap dianggap sebagai sah apabila ia memenuhi rukun dan syarat-syarat sahnya.

Ia sekalipun terdapat najis pada pakaian yang dipakai tidak kiralah sama ada mutawassitah mahupun mughallazah.

Demikian fakta ditemukan sebagaimana dipetik menerusi artikel #8018: Mengambil wuduk dalam keadaan pakaian bernajis yang disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri baru-baru ini.

Menurut Maktabah Albakri, ini kerana membersihkan diri mahupun suci daripada najis pada badan (selain anggota wuduk) mahupun pakaian bukanlah syarat sah wuduk.

Terdapat beberapa syarat sah wuduk antaranya menggunakan air yang suci lagi menyucikan (air mutlak), mengalir air pada anggota wuduk yang dibasuh dan tidak cukup hanya sekadar menyapu tanpa mengalirkannya.

Selain itu, tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wuduk dan wajib meratakan basuhan kesemua bulu serta kulit.

“Berdasarkan syarat-syarat itu, maka wuduknya tetap sah kerana najis yang terdapat pada pakaian seseorang itu tidak menghalang kesahan air sembahyangnya.

APABILA mendirikan solat, pastikan pakaian yang digunakan bersih dan tidak bernajis kerana ia boleh menjejaskan kesahan sembahyang yang dikerjakan. -Foto: CANVA

APABILA mendirikan solat, pastikan pakaian yang digunakan bersih dan tidak bernajis kerana ia boleh menjejaskan kesahan sembahyang yang dikerjakan. -Foto: CANVA

“Bagaimanapun, perbuatan itu menghalang kesahan solat. Justeru, jika individu itu ingin mendirikan sembahyang, maka dia hendaklah menukar pakaiannya yang bernajis terlebih dahulu ataupun membersihkannya supaya solat yang didirikannya itu dikira sah dan bukannya untuk kesahan wuduk,” katanya.

Menerusi ayat ke-6 surah al-Maidah, ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Maktabah Albakri kemudian menukilkan pandangan dikemukakan oleh Al-Maraghi yang menyatakan tentang makna ayat itu merujuk kepada sekiranya seseorang hendak bangun mendirikan solat dan masih dalam keadaan berhadas.

“Ini kerana bersuci iaitu berwuduk dan mandi wajib tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.

“Ayat itu jelas menunjukkan bahawa apabila seseorang hendak solat, maka berwuduklah dengan membasuh anggota-anggota wuduk seperti muka, kedua belah tangan hingga ke siku, kedua belah kaki hingga buku lali dan menyapu sebahagian kepala, di samping berniat serta tertib,” tulis artikel berkenaan.

Scroll to Top