Stacy belum fikir bersara, kurang minat menari lagi

Stacy belum fikir bersara, kurang minat menari lagi

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Stacy belum terfikir untuk memperlahankan karier nyanyian bagi memberi tumpuan kepada pembikinan lagu susulan beberapa kejayaan yang diraih di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bagaimanapun Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 35, berkata, dia sebaliknya pernah terfikir untuk ‘bersara’ dalam dunia menari yang sinonim bagi setiap persembahannya.

“Pada fasa sekarang saya belum terfikir untuk memperlahankan karier nyanyian, tapi jujur saya katakan saya sudah kurang berminat nak menari lagi.

“Itu yang saya rasa sekarang. Sebab bila diminta buat lagu dan mendalami prosesnya, saya akui lebih teruja dengan pembikinan itu berbanding memikirkan kepenatan dan komitmen yang perlu diberikan untuk menari di pentas.

“Tapi setakat ini saya masih ada tenaga dan boleh melakukannya sekiranya peluang itu masih ada,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Stacy meluahkan rasa terharu apabila namanya kian menyerlah sebagai pencipta lagu dan penulis lirik dengan menggunakan nama Bunga Cantik berbanding penampilannya sebagai penyanyi di pentas AJL.

Semalam lagu tulisan Stacy berjudul Saksama nyanyian Akim & The Majistret meraih tempat ketiga AJL ke-39.

“Alhamdulillah saya sendiri tidak pernah terbayang apa yang akan berlaku kepada saya dahulu.

“Kejayaan yang diraih ini (semalam) perasaannya masih sama ketika saya memenangi tempat kedua menerusi lagu Cinta di AJL ke-36. Barangkali apa yang dilalui ini masih baru kerana sebelum ini saya membawa diri sebagai penyanyi saja.

“Jadi agak kekok sedikit, tiba-tiba nak naik sebagai komposer atau penulis lirik dan bukannya penyanyi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top