Sri Pahang mahu tambah derita Kedah

Sri Pahang mahu tambah derita Kedah

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mahu meneruskan momentum kemenangan ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman malam ini.

Sri Pahang perlu memanfaatkan masalah dalaman dialami Sang Kenari dengan membawa pulang tiga mata.

KDA FC sebelum ini terpaksa menggunakan khidmat pasukan muda selepas skuad utama melakukan boikot, menyaksikan mereka tewas 5-0 kepada Kuala Lumpur City.

Bagaimana pun Sri Pahang tidak boleh terlalu yakin dan selesa kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Sudah pasti kita akan berusaha mencari lagi meencari kemenangan, mudah mudahan kerja keras pasukan kami nanti akan dapat keputusan yang di idamkan dan terus mencapai banyak lagi kemenangan.” kata Fandi.

Dalam perkembangan sama, skuad Tok Gajah bakal kehilangan khidmat Stefeno Brundo susulan mengalami kecederaan semasa Sri Pahang menang 5-1 ke atas PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Ahad lalu.

Pada perlawanan itu, Brundo berjaya menjaringkan dua gol tetapi terpaksa dikeluarkan di babak kedua kerana mengalami kecederaan yang agak serius dan mungkin memerlukan masa agak panjang untuk sembuh.

“Saya agak bimbang dengan kecederaan kaki kanan Brundo kerana dia adalah pemain penting di bahagian serangan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Fandi masih boleh mengharap sentuhan penyudah Kpah Sherman yang kini semakin bersemangat untuk mencetak gol apabila turut menjaringkan dua gol minggu lepas.-UTUSAN

Scroll to Top