PETALING JAYA: Satu aduan diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi tersebut.
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan akan memulakan siasatan.
Katanya, keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation akan diambil pada Isnin ini.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” katanya di sini hari ini.
Sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular dalam laman sosial Twitter.
Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.
Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Dun. – UTUSAN ONLINE