PETALING JAYA : Seorang taikun berprofil tinggi yang telah melarikan diri selama 19 tahun berjaya ditahan pihak berkuasa Singapura dengan kerjasama melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa Singapura menahan taikun dikehendaki tersebut.
Beliau berkata, operasi penahanan itu bermula apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura mengemukakan permohonan bantuan kepada SPRM bagi mengesahkan dan mengesan suspek-suspek yang terlibat.
Azam memberitahu, Pengarah CPIB telah melawat ibu pejabat SPRM untuk membincangkan kes tersebut secara terperinci pada April lalu.
“Susulan mesyuarat tersebut, CPIB menghantar permohonan rasmi untuk pelaksanaan waran tangkap bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 (Akta 25).
“Sebelum pelaksanaan waran, pasukan risikan SPRM telah mengumpulkan maklumat penting termasuk foto pemantauan dan butiran peribadi suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, analisis lanjut oleh CPIB menggunakan teknologi pengecaman wajah menunjukkan kemungkinan 70 peratus bahawa salah seorang individu adalah suspek yang dicari.
Beliau memberitahu, lokasi serta butiran peribadi suspek termasuk nombor pasport dan telefon berjaya dikesan dengan kerjasama SPRM.
“Pejabat SPRM Johor telah melaksanakan tangkapan dirancang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azam berkata, kejayaan itu menandakan kemuncak kepada operasi menyeluruh yang melibatkan pengumpulan risikan, pemantauan serta kerjasama erat antara agensi.
“Operasi ini menunjukkan komitmen SPRM melalui Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) terhadap kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan.
“Ia sekali gus menunjukkan kepentingan perkongsian maklumat risikan, pemantauan serta kolaborasi agensi dalam menegakkan keadilan,” katanya. – UTUSAN