hifzuddin@bh.com.my
Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hari ini mengambil keterangan bekas pegawai khas mantan perdana menteri berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada pendakwah selebriti.
Bekas pegawai kepada Datuk Seri Najib Razak berusia 37 tahun itu dilapor hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah di sini, semalam.
Sumber memaklumkan, lelaki itu bagaimanapun dibebaskan pagi tadi selepas selesai memberi keterangan bagi kes yang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Rabu lalu, SPRM Kedah menahan reman tiga individu termasuk seorang aktivis politik kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pendakwah selebriti, kononnya bagi membantu menyelesaikan kes penggubahan wang haram (AMLA) yang sedang dalam siasatan polis.
Kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan pada Selasa, dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Bedong dan di Pejabat SPRM Kedah.
Mereka dipercayai bersubahat meminta wang sebanyak RM150,000 daripada pendakwah terbabit, namun hanya menerima RM20,000 secara tunai.
© New Straits Times Press (M) Bhd