Speedy Tigers ‘panas badan’ di Australia

Speedy Tigers ‘panas badan’ di Australia

SKUAD hoki lelaki negara akan mengharungi enam aksi persahabatan dalam siri Jelajah Australia sebagai persiapan untuk menggalas cabaran Malaysia pada Piala Negara-Negara Jun depan.

Siri Jelajah tersebut merupakan tugasan antarabangsa pertama buat Speedy Tigers pada tahun ini dan ketua jurulatihnya, Sarjit Singh menyifatkan ia adalah peluang terbaik untuk pemain-pemainnya mempamerkan kebolehan masing-masing.

“Siri jelajah ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh peain-pemain yang dipilih kerana dengan intensiti perlawanan yang tinggi serta berdepan lawan yang berkualiti seperti Australia. Ia adalah peluang terbaik mereka menunjukkan kebolehan yang dimiliki.

“Para pemain muda yang menyertai siri jelajah ini perlu menggunakan pengalaman berharga dengan sebaik mungkin bagi terus memperbaiki diri kerana peluang bermain dengan pasukan berkualiti tinggi tidak selalu diperoleh,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Speedy Tigers yang menjalani kem latihan bermula 3 Mac lalu dengan seramai 30 pemain dipanggil, bagaimanapun membariskan 22 pemain bagi siri jelajah ini.

Skuad negara akan menentang Western Australia dalam aksi persahabatan pertama pada Rabu, disusuli aksi kedua berdepan pasukan yang sama sehari kemudian.

Baki empat perlawanan persahabatan akan berlangsung pada 28 dan 29 April serta 1 dan 2 Mei bertemu Australia sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 3 Mei.

Sarjit menjelaskan mahu memberi penekanan kepada aspek taktikal terutama kemampuan para pemain beraksi di bawah tekanan dan kekal konsisten.

Malah beliau juga mahu melihat keserasian para pemain selepas lebih sebulan menjalani sesi latihan bersama, selain menguji beberapa strategi yang akan diterapkan dalam pasukan.

“Kami akan menilai bagaimana para pemain membuat keputusan, terutama bergerak sebagai satu unit ketika bertahan dan menyusun pergerakan dalam menyerang.

“Selain itu, kami berharap dapat membina keserasian yang lebih kukuh dalam skuad dan menguji pelbagai kombinasi juga strategi dalam suasana yang kompetitif,” ujarnya.

Speedy Tigers bakal mengharungi beberapa kejohanan pada tahun ini termasuk Piala Asia yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia buat pasukan yang muncul juara.

Kejohanan itu dijadualkan berlangsung di India bermula 27 Ogos hingga 7 September depan.

Selain itu, Speedy Tigers akan turut menyertai Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 November serta Sukan SEA Thailand bermula 9 hingga 20 Disember depan.

Scroll to Top