Southgate buktikan siapa England

Southgate buktikan siapa England

Dortmund: Kemenangan England ke atas Belanda di separuh akhir Euro 2024 menunjukkan karakter dan ketabahan mereka dan pasukan itu kini bersedia untuk mengambil langkah terakhir menjulang trofi utama pertama selepas hampir 60 tahun, kata pengurus Gareth Southgate.

Pemain gantian Ollie Watkins menjaringkan gol pada minit ke-91 untuk membawa England ke final Kejohanan Eropah kedua berturut-turut dengan kemenangan 2-1.

Prestasi keseluruhan mereka di separuh itu menjawab kritikan yang dibangkitkan kepada Southgate selepas persembahan lesu sebelum ini.

“Kita semua mahu disayangi, bukan?”

“Apabila anda melakukan sesuatu untuk negara anda dan anda akan bangga sebagai orang Inggeris, apabila anda baca semua kritikan, ia adalah sukar. Dapat mara ke perlawanan akhir kedua adalah sangat-sangat istimewa.”

“Kami menyajikan beberapa malam yang menakjubkan, beberapa malam yang terbaik dalam 50 tahun,” katanya.

Southgate mengambil alih tugas pada 2016, kini membawa pasukan itu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir dalam empat kejohanan utama terakhir, satu-satunya pasukan Eropah yang mencapai kejayaan ini.

Mereka tewas kepada Itali menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir Euro 2020 tetapi kini berpeluang untuk bermain lebih baik menentang Sepanyol di Berlin, Isnin ini.

“Ia menunjukkan gaya England yang lebih moden tetapi juga daya tahan dan perwatakan kumpulan.

“Ollie Watkins berlatih seperti itu setiap hari. Dia berlatih untuk dapatkan hasil seperti malam ini tidak kira betapa kecewanya.”

“Mereka menyokong satu sama lain, mereka terikat dengan baik dan malam ini ia adalah satu contoh,” katanya.

England memerlukan penalti untuk mengatasi Switzerland di peringkat lapan terakhir dan Southgate berkata pasukannya belajar daripada perlawanan kalah mati sejak Piala Dunia 2018 di Rusia di mana mereka tewas pada separuh akhir kepada Croatia.

“Kami lebih tenang apabila memasuki peringkat kalah mati. Di Rusia kami tidak memenangi perlawanan peringkat kalah mati dalam 10 tahun.

“Dapat membawa pasukan ke final pertama di luar negara, saya amat berbangga dengan itu,” kata Southgate.

England memenangi Piala Dunia 1966 di laman sendiri manakala perlawanan akhir Euro 2020 turut diadakan di Wembley.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top