am@hmetro.com.my
Butterworth: Cubaan penyeludup menyimpan minuman keras di kawasan terpencil dan tersorok dalam stor berhampiran sebuah kampung di Bukit Mertajam gagal apabila perbuatan itu terbongkar selepas serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, pada 9 Januari lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, sebanyak 3,665 botol dan 13,836 tin minuman keras pelbagai jenama dipercayai tidak berkastam ditemui membabitkan nilai RM103,667.90 serta cukai berjumlah RM267.854.65.
Pengarah JKDM negeri, Rohaizad Ali, berkata siasatan awal mendapati stor itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan minuman keras sebelum diedarkan di pasaran tempatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti suspek yang terbabit,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM di Bagan Jermal, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Rohaizad berkata, pihaknya turut merampas 555,600 batang rokok seludup pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis di Nibong Tebal, dekat sini, pada 25 Januari lalu.
“Kesemua rokok bernilai RM167,030 dan cukai RM383,599 itu dirampas untuk tindakan lanjut, tiada sebarang tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek terlibat sedang dijalankan.
“Modus operandi dalam kes ini juga didapati penyeludup menyimpan rokok di premis terbiar dan di kawasan perkampungan bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
© New Straits Times Press (M) Bhd