Sophia tak ada masalah berkerja sama dengan Fattah

Sophia tak ada masalah berkerja sama dengan Fattah

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Sophia Albarakbah tidak melihat gandingan bersama duda terhangat, Fattah Amin dalam sebuah projek terbaharu berjudul Aku Cinta Dia bakal mencetuskan kontroversi liar membabitkan mereka.

Sophia berkata, sebagai pelakon dia perlu bersikap profesional dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab yang perlu dilunaskan tanpa memikirkan status seseorang pelakon itu.

“Tak kira status apa pun, kalau orang nak mengata, tetap akan mengata. Bagi saya, status seseorang sama ada bujang atau duda tidak memberi kesan kepada kerja atau karier saya.

“Saya tidak risau pun dengan cakap-cakap orang sebab tak kira apa yang saya buat, betul atau salah, pasti ada individu yang memilih untuk mengata.

“Namun apa yang paling penting, tanggungjawab saya sebagai pelakon adalah memastikan setiap karakter dapat dijayakan dengan sebaik mungkin.

“Bukan dengan Fattah sahaja, saya rasa status bukanlah isu. Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan ramai pelakon berbeza status, ia tak menjadi masalah,” katanya pada majlis pengumuman pelantikannya sebagai wajah Usanita Entertainment, baru-baru ini.

Menurut Sophia, gandingan menerusi drama berjudul Aku Cinta Dia terbitan Usanita Entertainment bukan Kerjasama pertama sebaliknya mereka pernah bergandingan dalam filem Mimaland sekitar lima tahun lalu.

“Kami pernah disatukan dalam filem Mimaland pada 2019 iaitu ketika awal pembabitan saya di arena seni. Saya juga pernah bekerja di bawah arahan Erma Fatima, jadi sudah memahami cara kerjanya.

“Drama ini juga akan disiarkan menerusi platform TikTok iaitu pendekatan baharu diperkenalkan Usanita Entertainment. Ini sesuatu yang unik,” katanya.

Dalam pada itu, Sophia meluahkan rasa teruja apabila bakal bersama mengikuti aktiviti dengan Usanita Sdn Bhd bagi tempoh enam bulan musim 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top