Sony Norde sah berhijrah ke Indonesia

Sony Norde sah berhijrah ke Indonesia

ALOR SETAR: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde akhirnya merungkai segala persoalan yang bermain di minda penyokong Sang Kenari apabila mengesahkan penghijrahannya ke sebuah kelab di Indonesia, Disember ini.

Menurut pemain dari Haiti itu, dia akan terbang ke negara jiran itu pada 5 Disember dengan kemenangan 3-2 dalam Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KL City), kelmarin merupakan aksi terakhirnya di depan penyokong sendiri.

“Saya dan KDA FC ada persetujuan bersama. Setelah sekian lama kelab ini berdepan masalah kewangan yang teruk, saya terpaksa ambil keputusan ini demi keluarga. Saya tiada pilihan dan terpaksa bergerak demi keluarga.

“Selepas ini saya akan bermain kali terakhir untuk KDA FC dalam perlawanan timbal balik, 1 Disember nanti. Itu pun kalau pemain lain mahu ke Kuala Lumpur. Jika masalah dalam pasukan ini gagal diselesaikan, saya tak fikir KDA FC cukup pemain untuk beraksi,” katanya.

Sony menjaringkan dua gol untuk membantu KDA FC menewaskan KL City 3-2 di Stadium Darul Aman semalam yang menyaksikan beberapa pemain utama pasukan itu ‘hilang’, sehingga hanya seorang pemain di bangku simpanan.

Mengulas lanjut tentang penghijrahannya, Sony berkata, keputusan itu sangat sukar untuk diambil terutamanya apabila mengenangkan rakan-rakan sepasukan yang masih terus bersama KDA FC selepas ini.

“Saya akan pergi manakala rakan-rakan lain akan kekal dalam situasi ini. Saya rasa teruk buat mereka tetapi ini situasi peribadi dan bukan mudah untuk saya mengambil keputusan ini,” katanya.
Mengulas ketiadaan hampir separuh pemain KDA FC semalam, Sony mendedahkan segalanya nampak seperti biasa sebelum terdapat dalam kalangan pemain menyatakan hasrat untuk tidak beraksi, beberapa jam sebelum perlawanan berlangsung.

“Sejujurnya sewaktu kami di hotel segalanya nampak okey. Tetapi apabila kami sampai di stadium dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain mahu mengumumkan senarai pemain utama, beberapa pemain menyatakan mereka tidak mahu beraksi.

“Nafuzi memahami keadaan mereka. Ketika pihak pengurusan terus berjanji tetapi tidak mengotakannya, saya fikir para pemain mempunyai hak untuk berbuat demikian,” katanya.
Tambahnya, dia sentiasa berbangga dengan rakan-rakan sepasukannya yang telah banyak merana kerana masing-masing memiliki keluarga dan anak-anak.

“Apa yang berlaku ketika ini, sebenarnya amat tidak adil buat para pemain. Rasanya gaji kami sudah tertunggak selama lapan bulan dan para pemain tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa,” katanya.- UTUSAN

Scroll to Top