Soma tidak sesuai nyanyi lagu raya catchy

Soma tidak sesuai nyanyi lagu raya catchy

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Soma gembira berjaya mempunyai lagu Hari Raya berjudul Aku Tetap Raya walaupun belum setahun jagung mengeluarkan album sulung.

Soma atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basar berkata, lagu ini bukan calang-calang kerana dicipta oleh Belle Fattah, Adinda Amiro dan dia sendiri.

“Saya dah lama simpan hasrat untuk memiliki lagu raya sendiri. Ia akan dimuatkan album mini berjudul “Penantian” terbitan Allahyarham Datuk S. Atan yang dilancarkan pada Disember lalu.

“Lagu ini dihasilkan untuk kepuasan saya sendiri tanpa ada niat untuk bersaing dengan penyanyi lain yang juga mengeluarkan lagu raya. Masing-masing ada cara sendiri.

“Saya rasa setiap penyanyi juga menyimpan impian untuk ada lagu raya sendiri dan berharap lagu raya terbabit menjadi malar segar seperti lagu-lagu raya klasik,” katanya.

Soma berkata, dia memilih lagu raya kontemporari berbanding trend penyanyi lain yang memilih konsep catchy kerana faktor usianya yang mencecah 50-an.

“Lagu ini kena dengan cita rasa saya. Aku Tetap Raya menerapkan melodi dan elemen muzik yang menyerlahkan kepelbagaian kaum.

“Ia bukan sahaja sesuai untuk Hari Raya, malah perayaan lain juga melalui melodi yang pelbagai. Bukan sahaja ada elemen Melayu, sebaliknya, Cina, India dan bangsa lain di Malaysia.

“Kalau dengar melodi lagu ini, ada banyak elemen yang kami masukkan. Lagu ini kedengaran sangat ‘universal’, sangat sesuai kalau dinyanyikan dalam bahasa lain juga,” katanya.

Soma berkata, konsep ini dipilih kerana pada zaman sekarang sukar untuk mendapatkan lagu raya yang mengetengahkan irama tradisional.

Mengenai pemilihan Belle dalam projek pembikinan single Aku Tetap Raya, Soma berkata, keputusan didorong atas kebolehan komposer itu.

Menariknya, muzik video rasmi Aku Tetap Raya turut menampilkan penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim serta model Zahnita yang kini kembali aktif dalam industri seni.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top