Solat bertahun-tahun, tetapi tidak diterima? Ketahui sebab-sebabnya

Solat bertahun-tahun, tetapi tidak diterima? Ketahui sebab-sebabnya

ALANGKAH ruginya andai kita solat selama berpuluh-puluh tahun, tetapi akhirnya ia tidak diterima oleh ALLAH SWT.

Sudahlah solat lima waktu tidak pernah ditinggalkan dan mengikut waktu ditetapkan, namun semua itu seakan sia-sia kerana ditolak Sang Pencipta.

Benar, tiada siapa yang tahu sejauh mana amal ibadah yang dilakukan diterima oleh-NYA. Disebabkan itu, kita perlu memastikan setiap amalan dilakukan mesti bersungguh-sungguh mengikut ketetapan syarak dan dikerjakan kerana ALLAH SWT.

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang kisah seorang lelaki menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi tidak diterima ALLAH sebagai peringatan agar kita menyempurnakan kewajipan Rukun Islam kedua itu dengan baik.

Perkara itu dikongsikan oleh pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

USTAZAH ASMA'

USTAZAH ASMA’

Beliau menekankan betapa pentingnya menyempurnakan rukuk dan sujud dalam solat agar ia diterima oleh ALLAH SWT.

Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Seorang lelaki menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi satu pun solatnya tidak diterima ALLAH. Perkara ini berlaku kerana dia menyempurnakan sujudnya tetapi tidak menyempurnakan rukuknya atau menyempurnakan rukuknya tetapi tidak menyempurnakan sujudnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

“Solat yang dilakukan tanpa menitikberatkan kesempurnaan rukun seperti rukuk dan sujud dianggap sebagai mencuri dalam solat.

“Menerusi hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah bersabda bahawa seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri di dalam solat iaitu tidak menyempurnakan rukuk dan sujud,” katanya.

SOLAT yang dilakukan tanpa menitikberatkan kesempurnaan rukun seperti rukuk dan sujud dianggap sebagai mencuri dalam solat. -Foto: CANVA

SOLAT yang dilakukan tanpa menitikberatkan kesempurnaan rukun seperti rukuk dan sujud dianggap sebagai mencuri dalam solat. -Foto: CANVA

Menguatkan lagi fakta itu apabila Ustazah Asma’ mengemukakan sebuah lagi hadis yang mana Nabi Muhammad SAW melihat seorang pemuda berdiri lama dalam solatnya.

“Ia sehinggakan Baginda mengatakan ‘Jika saya mengenali lelaki ini, saya akan ajarnya supaya lebih banyakkan rukuk dan sujud lebih panjang’.

“Ini kerana setiap kali seseorang rukuk dan sujud, maka dosa-dosa yang diletakkan di atas kepala dan bahu mereka akan gugur,” coretnya.

Dalam satu kes, tambah beliau, Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang tidak sempurna solatnya dan meminta orang itu mengulangi sembahyangnya sebanyak tiga kali.

“Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya untuk kita menyempurnakan solat dengan betul dan penuh ketenangan atau tamakninah.

“Mengertilah bahawa solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh ALLAH SWT di akhirat kelak,” ungkapnya.

AMALKAN doa sepertimana yang disebutkan pada ayat ke-40 surah Ibrahim agar diri dan keturunan kita menjaga solat. -Foto: CANVA

AMALKAN doa sepertimana yang disebutkan pada ayat ke-40 surah Ibrahim agar diri dan keturunan kita menjaga solat. -Foto: CANVA

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa solat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga menjadi benteng daripada kemungkaran.

Justeru, pendakwah itu menegaskan, umat Islam perlu memastikan solat mereka dilakukan dengan penuh khusyuk dan memenuhi rukun-rukunnya agar ia dihitung oleh ALLAH SWT.

“Ingatlah, solat bukan sekadar rutin, tetapi bagaimana kita mendirikannya dengan sempurna.

“Jangan sampai solat bertahun-tahun, tapi sia-sia,” ungkapnya.

Beliau turut mengajarkan satu doa untuk diamalkan agar diri dan keturunan kita menjaga solat.

Doa itu disebutkan pada ayat ke-40 surah Ibrahim yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah permohonanku.”

Scroll to Top