KUANTAN: Sokongan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat membantu ke arah kestabilan politik.
Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata beliau mengalu-alukan sokongan itu dan beranggapan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkenaan sedar betapa pentingnya mewujudkan kerajaan yang stabil demi memastikan kelangsungan dan kebajikan rakyat terjaga ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.
“Soal keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hak peribadi beliau, tetapi yang penting kesediaan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, kerana kita perlukan kestabilan… hari ini tugas kerajaan PN untuk seimbangkan hidup dan kelangsungan hidup semasa pandemik ini,” katanya.
Saifuddin yang juga Pengerusi BERSATU Pahang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Xavier sebagai Naib Presiden dan ahli PKR, selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota cawangan Semambu, di sini hari ini.
Ditanya mengenai sokongan masyarakat Cina dan India di Pahang terhadap PN, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata tumpuan kini diberikan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada golongan berkenaan tanpa mengetepikan kaum Melayu.
Xavier hari ini mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden PKR dan keluar parti itu.
Selaras pengumuman untuk keluar PKR yang disertai sejak parti tertubuh pada 1998, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen Bebas. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd