Sokong Palestin, isu cerai punca ditolak Oscar?

Sokong Palestin, isu cerai punca ditolak Oscar?

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Aktres Hollywood terkenal, Angelina Jolie dilaporkan patah hati apabila watak Maria Callas dalam filem biopik, Maria, yang diramal bakal menyaksikan dirinya meraih trofi Aktres Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-97, gagal membolosi kategori berkenaan.

Angelina tewas di tangan Cynthia Ervo yang membintangi filem Wicked; Karla Sofia Gascon (Emilia Perez); Mikey Madison (Enora); Fernanda Torres (I’m Still Here) dan Demi Moore (The Substance).

Bagaimanapun, Demi diramal mempunyai peluang cerah memandangkan baru sahaja merangkul trofi Aktres Terbaik, Anugerah Golden Globe, awal bulan ini.

Ketiadaan nama Angelina dalam senarai pencalonan menimbulkan rasa kurang senang peminat, sebaliknya timbul spekulasi keciciran nama bintang berusia 50 tahun itu berkaitan sokongannya terhadap Palestin.

“Jolie penyokong Palestin, sebab itulah namanya tak tersenarai. Hollywood adalah penyokong Zionis,” tulis peminat.

Mengikut agensi, nama Angelina tidak tersenarai disebabkan watak Maria Callas sebagai penyanyi dalam filem biografi legenda opera arahan Pablo Lorrains itu tidak cukup kuat seperti dua biopiknya sebelum ini, Jackie dan Spencer.

Sumber mendedahkan, Angelina begitu kecewa kerana sudah menghabiskan masa berbulan-bulan belajar menyanyi. Dia juga mencurahkan kesakitannya dalam watak penyanyi legenda opera itu.

“Jolie sedih dan sangat terpukul. Dalam semua temu bual mengenai filem Maria jelas menunjukkan Jolie mahu dicalonkan.

“Dia sanggup tampil program larut malam bersama Jimmy Fallon selepas lebih sedekad tidak melakukannya. Jolie juga jadi penghias muka depan beberapa majalah demi watak Maria Callas,” ujar sumber.

Mengikut laporan portal Page Six, sumber industri mendedahkan, isu perceraian dengan bekas suami yang juga aktor terkenal, Brad Pitt juga menjadi salah satu faktor terlepas pencalonan Oscar.

“Ini menunjukkan bahawa Hollywood adalah pasukan Pitt. Tiada siapa menentang Pitt dan memberi Jolie undian, orang hanya suka Pitt.

“Orang industri mungkin secara halus memihak kepada Pitt,” lapor portal Page Six.

Anak lelaki Angelina, Maddox, 23, dan Pax, 21, turut bekerja sebagai pembantu produksi filem biopik, Maria. Watak Maria Callas adalah cara Jolie mengungkapkan kejujuran perasaannya di hadapan anak-anak. – Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top