Setiap kali tiba Hari Raya, suasana rumah mesti meriah—anak-anak berlari ke sana sini, bau rendang memenuhi ruang, dan suara riuh rendah saudara-mara bergema di setiap sudut rumah. Tapi dalam kemeriahan itu, mesti ada satu momen yang buat kita tarik nafas panjang… soalan panas yang tak pernah gagal muncul setiap tahun!
Dari “Bila nak kahwin?” sehinggalah ke “Bila nak ada anak?”, kadangkala soalan-soalan ini lebih pedas daripada sambal kacang.
Begitulah nasib yang dialami oleh Alyas dan Anum dalam video Raya terbaru Air Selangor, Di Sebalik Syukur, yang terpaksa menerima soalan yang mengundang tekanan hanya kerana masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun telah lama berkahwin.
Setiap tahun, tatkala ketupat dan rendang dihidang, soalan yang sama berulang, seolah-olah kebahagiaan mereka diukur berdasarkan perkara yang di luar kawalan mereka.
Di Sebalik Syawal, Angkat Kisah Pejuang Dua Garis Biru
Kami yakin ramai yang memahami perasaan Alyas dan Anum ni, di sebalik senyuman dan ketawa tapi dalam hati, siapa yang tahu?
Bukan mereka tak mahu, bukan mereka tak usaha, tapi ada perkara yang di luar kawalan manusia. Walaupun begitu, mereka tetap menikmati setiap detik Syawal, cuba mengalihkan fokus daripada apa yang tiada kepada apa yang mereka ada iaitu keluarga, kasih sayang, dan kebahagiaan.
Di sinilah mereka menemui makna sebenar kebahagiaan. Daripada membiarkan diri terus dibelenggu tekanan, Alyas dan Anum membuat keputusan untuk berkongsi kasih sayang mereka dengan anak-anak yatim.
Mereka sedar, bahagia bukan sekadar memiliki sesuatu, tetapi juga memberi. Setiap senyuman yang mereka lihat, setiap tangan kecil yang menggenggam erat jari mereka, semuanya mengajar bahawa kasih sayang itu tidak terbatas pada hubungan darah sahaja.
Hayati Makna Sebenar Aidilfitri & Santuni Mereka Yang Memerlukan

Hari Raya bukan tentang siapa paling berjaya atau kaya, tapi tentang berkongsi kegembiraan dan mensyukuri setiap rezeki yang ada.
Jadi, bila kita bertemu sanak saudara tahun ini, mungkin kita boleh kurangkan soalan-soalan yang boleh mengguris hati, dan gantikan dengan doa serta kata-kata yang membangkitkan semangat.
Saksikan kisah Di Sebalik Syukur oleh Air Selangor dan hayati makna sebenar Aidilfitri yang penuh kasih sayang dan rasa syukur.