KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Perdana Menteri menjawab sejelas-jelasnya mengenai pelaksanaan perintah darurat dan proklamasi darurat.
Dalam pencelahan di Dewan Rakyat hari ini, beliau kesan kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menyebut dalam penerangan Pelan Pemuliah Negara (PPN) bahawa Ordinan Darurat telah dimansuhkan peada 21 Julai lalu.
“Saya nak tanya apakah ini bermakna semua denda-denda yang dikenakan, semua hukuman yang dijalankan selepas 21 Julai akan terbatal dengan sendirinya?
“Kerana setahu saya masih dilakukan ke atas mereka yang dihukum pihak berkuasa. Jadi sekarang tiada penjelasan. Ini perkara penting bahawa penjelasan harus diberikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga harus memberi penjelasan kerajaan telah memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini.
“Adakah ini sudah dipersembahkan ke Istana (Yang di-Pertuan Agong)? Darurat tidak akan dilanjutkan selepas 1 Ogos, adakah ini juga sudah dipersembahkan ke Istana Negara kerana negara nak tahu kedudukan sekarang,” katanya.
Sebelumnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan perkara itu sudah diputuskan pada 21 Julai lalu.
Selain itu, kerajaan juga telah membuat keputusan berdasarkan Perkara 150 (3) untuk membatalkan kesemua Ordinan Darurat yang dibuat semasa Proklamasi Darurat.