London: Pengurus Liverpool Arne Slot menyatakan bahawa beliau tidak terkejut dengan permulaan cemerlang pasukannya musim ini, kerana beliau sudah sedar akan kekuatan pasukan yang diwarisinya apabila tiba di Anfield sebagai pengganti Juergen Klopp.
Pasukan Slot,memenangi 14 daripada 16 perlawanan dalam semua kejohanan sejak beliau mengambil alih, kini berusaha mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris apabila mereka menjadi tuan rumah kepada Aston Villa pada Sabtu ini.
Liverpool kini mempunyai kelebihan dua mata di hadapan juara bertahan Manchester City.
Mereka juga berada di kedudukan teratas kumpulan Liga Juara-Juara sebagai satu-satunya pasukan yang menang empat perlawanan daripada semua pertemuan.
“Saya rasa ‘terkejut’ bukan perkataan yang tepat kerana saya tahu kualiti pasukan kami.
“Tetapi kualiti adalah satu perkara dan konsistensi adalah perkara lain. Saya tidak terkejut kerana saya melihat tenaga yang pemain saya berikan setiap hari.
“Kadang-kadang, sedikit tuah turut membantu. Kebanyakan keputusan kami memang layak tetapi ada beberapa perlawanan yang hampir sahaja,” tambahnya.
“(Juga) apabila saya mula bekerja dengan mereka, saya nampak betapa gigih mereka berusaha untuk mencapai keputusan ini,” kata Slot kepada pemberita.
Slot tidak menjangka penyerang Diogo Jota, yang tidak beraksi sejak kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Chelsea pada 20 Oktober akibat kecederaan, akan kembali sehingga selepas rehat antarabangsa.
Slot tidak mengulas lanjut mengenai kecederaan Jota dan menyatakan bahawa terpaksa merahsiakan punca itu.
“Dia akan kembali satu atau dua perlawanan selepas rehat antarabangsa,” katanya.
Curtis Jones, yang disenaraikan dalam skuad pengurus interim England Lee Carsley untuk aksi antarabangsaakan datangmenunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Jones mencipta hantaran cantik untuk Luis Diaz menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0 Liverpool ke atas Bayer Leverkusen dalam Liga Juara-Juara pada Selasa lalu.
Slot berkata Jones meningkatkan permainannya ke tahap yang lebih tinggi sejak kelahiran anak perempuannya, Giselle, pada 13 Oktober.
“Sejak menjadi seorang bapa, dia mula menunjukkan prestasi hebat,” kata Slot.
© New Straits Times Press (M) Bhd