Liverpool: Pengurus Liverpool, Arne Slot, tampil mempertahankan Trent Alexander Arnold selepas pemain itu menjadi sasaran kritikan pedas dari penganalisis susulan keputusan seri 2-2 menentang Manchester United di Anfield pagi tadi.
Keputusan itu dianggap seperti ‘kehilangan dua mata’ bagi pendahulu Liga Perdana Inggeris.
Bruno Fernandes dan Diogo Dalot dari United kerap kali meninggalkan Alexander Arnold dalam keadaan tertekan sepanjang perlawanan.
Malah, bekas kapten United, Roy Keane, tidak berlapik dalam kritikannya.
“Kita sering bercakap mengenai kehebatan Trent ketika menyerang, tetapi cara dia bertahan hari ini, seperti budak sekolah,” kata Keane dalam siaran langsung Sky Sports.
“Ada desas-desus mengenai dia akan ke Real Madrid, tetapi dengan cara dia bertahan, dia mungkin ke Tranmere Rovers selepas ini. Dia perlu lakukan lebih baik.”
Ketika ditanya sama ada Alexander Arnold terganggu dengan spekulasi mengenai kontraknya yang bakal tamat pada akhir musim ini, Slot menjawab: “Saya tidak percaya perkara itu.
“Saya rasa sembilan daripada sepuluh orang akan kata ia menjejaskan dia, tetapi saya dalam kumpulan satu daripada sepuluh yang percaya ia tidak mempengaruhinya. Apa yang menjejaskannya adalah dia perlu berhadapan Bruno Fernandes dan Diogo Dalot, dua pemain utama Portugal yang sangat hebat,” kata Slot.
“Kami ada pemain luar biasa seperti Diogo Jota, tetapi dia pun tidak bermain untuk Portugal. Jadi itu menunjukkan betapa berkualitinya United. Mungkin ramai yang akan kata semua ini disebabkan khabar angin, tetapi saya ada pandangan berbeza.”
Kelab Liga Dua, Tranmere Rovers, memberi respons berseloroh terhadap komen Keane melalui platform X dengan menulis: “Trent ke Tranmere, Roy? Tak apa, kami dah cukup bagus, terima kasih.”
Dalam perlawanan itu, Cody Gakpo dan Mohamed Salah menjaringkan gol untuk Liverpool, yang kekal di puncak liga dengan 46 mata, enam mata mendahului Arsenal di tangga kedua dengan kelebihan satu perlawanan.
Slot turut membandingkan keputusan seri ini dengan kekalahan 0-1 mereka kepada Nottingham Forest pada pertengahan September, satu-satunya kekalahan Liverpool musim ini.
“Keputusan ini terasa seperti perlawanan menentang Nottingham Forest. Ia menyakitkan, tetapi begitulah bola sepak,” tambah Slot.
© New Straits Times Press (M) Bhd