PEMAJU hartanah, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) secara rasminya telah menyiapkan projek kediaman ke-11, EdgeWood Residences yang direka untuk menggalakkan kelestarian dan kehidupan bandar lebih sihat.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, pembangunan yang terletak di SkySanctuary, Setapak itu menyepadukan ciri-ciri mementingkan alam sekitar dan inovasi pintar menerusi konsep SkyWorld Healthy Home.
“EdgeWood Residences menggabungkan strategi reka bentuk pasif termasuk fasad mengurangkan haba, kelengkapan cekap tenaga dan sistem pengudaraan yang meningkatkan kualiti udara dalaman.

Chee Seng menunjukkan unit pemandangan taman yang menghadap ke SkySanctuary Central Park.
“Ruang hijau dan landskap badan air yang luas membantu mengurangkan suhu sebanyak dua hingga empat darjah Celsius berbanding kawasan sekitar yang mana ia mewujudkan persekitaran tempat tinggal lebih selesa.
“Projek ini mementingkan piawaian tertinggi kualiti pembinaan dengan mencapai 86 peratus skor Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) dan memperoleh Pensijilan GreenRE Gangsa untuk reka bentuk cekap tenaga serta mesra alam,” katanya ketika lawatan di projek berkenaan di sini pada Selasa.
Lebih 120 wakil media, jurubank dan penilai hartanah berpeluang meninjau dan melihat sendiri keunikan projek berkenaan ketika lawatan eksklusif itu diadakan.
Reka bentuk fasad pintar yang meminimumkan penyerapan haba dan meningkatkan keselesaan terma adalah antara yang dipamerkan semasa lawatan itu.
Mengulas lanjut, Chee Seng berkata, di luar kediaman individu, EdgeWood Residences menekankan kesejahteraan komuniti menerusi ruang kongsi seperti astaka dengan konsep terbuka dan taman hijau seluas 2.92 ekar.

Chee Seng mempamerkan projek EdgeWood Residences kepada wakil media ketika mengadakan lawatan eksklusif.
“Keselamatan juga dipertingkatkan dengan teknologi pengecaman plat kereta manakala lif berkelajuan tinggi yang cekap tenaga menyumbang kepada penggunaan kuasa lebih rendah.
“Kami percaya bahawa rumah perlu melakukan lebih daripada menyediakan tempat perlindungan iaitu harus meningkatkan kualiti hidup.
“Melalui SkyWorld Healthy Home, kami memperhalusi kehidupan bandar dengan menyepadukan kemampanan, keselesaan dan kesejahteraan dalam setiap aspek pembangunan kami,” ujarnya.
Tambah Chee Seng, EdgeWood Residences mencontohi visi tersebut dengan memastikan penduduk menikmati udara bersih, keselesaan terma dan ruang komuniti direka dengan teliti yang menggalakkan gaya hidup lebih sihat serta seimbang.