Skuad Musa'adah Al-Falah MADANI digerakkan bantu mangsa banjir

Skuad Musa'adah Al-Falah MADANI digerakkan bantu mangsa banjir

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperuntukkan RM12.55 juta bagi membantu mangsa yang terjejas banjir di seluruh negara setakat hari ini.

Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menggerakkan Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama semua agensi di bawah Hal Ehwal Agama,Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dan agensi setempat bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa terjejas.

Menurutnya, bagi misi pertama ini 25 orang daripada pelbagai agensi hal ehwal Islam digerakkan di Pantai Timur membabitkan kawasan Rantau Panjang dan Tumpat, Kelantan.

“Misi ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain yang dilanda banjir seperti Pahang, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Kedah dan Perak,” katanya pada Majlis Pelepasan Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah JAKIM,Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Sebanyak RM450,000 bantuan disumbangkan oleh Tabung Musaadah (di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia (RM450,000); Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

(RM7 juta); Tabung Haji (RM100,000) dan Yayasan Taqwa MAIWP (RM5 juta).

Sukarelawan misi bantuan banjir ini melibatkan 14 agensi di bawah Hal Ehwal Agama dan jumlah bantuan ini akan bertambah dari masa ke semasa.

“Saya mengharapkan program seumpama ini dapat memberikan impak positif dalam menyahut hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan rakyat Malaysia yang bersatu padu di bawah acuan Malaysia MADANI yang saling bantu membantu antara satu sama lain, bersikap rahmah dan kasih sayang di saat genting seumpama ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top