Skuad hoki UIAM dapat tonik terbaik

Skuad hoki UIAM dapat tonik terbaik

aida_adilah@hmetro.com.my

Kangar: Pasukan hoki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapat tonik terbaik sebagai bekalan menjelang perlawanan seterusnya di Kumpulan A selepas seri 0-0 menentang Politeknik Malaysia di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, hari ini.

Biarpun gagal meraih tiga mata penuh dalam perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Kangar itu, kejayaan mencuri satu mata pada perlawanan pertama mampu membakar semangat pasukan dibimbing bekas pemain kebangsaan, Mohd Hoesni Rahmat, menjelang aksi kedua berdepan juara bertahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Khamis ini.

Kapten UIAM, Zakwan Zamri menegaskan mereka akan berusaha sehabis baik untuk melakarkan keputusan positif biarpun mengetahui tidak mudah untuk menjinakkan UPSI.

Begitupun, katanya, ia bukan alasan untuk mereka menyerah sebelum berjuang kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku selain turut berharap dapat melangkah hingga ke suku akhir pada temasya kali ini.

“Kami akan berbincang strategi bersama jurulatih untuk mengekang barisan serangan lawan.

“Memang mereka ada kelebihan kerana memegang status juara bertahan, tapi itu bukan satu masalah kerana yang penting kami beri yang terbaik dan menikmati perlawanan sepenuhnya Khamis ini,” katanya sambil mengharapkan ayam tambatan, Syamil Abdullah akan dapat merobek gawang lawan.

Saingan hoki di temasya kali ini disertai 15 pasukan dengan juara dan naib juara akan layak ke pusingan kedua.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd