Skuad hoki remaja kalahkan New Zealand 2-1

Skuad hoki remaja kalahkan New Zealand 2-1

JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja kebangsaan menewaskan New Zealand 2-1 pada aksi pemanas badan menjelang Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2024, di sini petang tadi.

Ketua jurulatih skuad remaja lelaki, I. Vikneswaran berkata, keputusan itu tidak mencerminkan prestasi sebenar kedua-dua pasukan setelah masing-masing mencuba pelbagai strategi dan taktikal sebelum aksi sebenar.

Dia turut melakukan perkara yang sama untuk memastikan setiap pemain dapat membiasakan diri dengan variasi corak permainan yang boleh diterapkan pada aksi sebenar nanti.

“Bagi aksi pemanas badan ini, keputusan perlawanan tak penting, pada hujung permainan tadi pun kita sengaja beraksi tanpa penjaga gol untuk lihat bagaimana pemain bertahan ketika pukulan sudut penalti.

“Proses ini penting untuk membentuk keyakinan pemain, dalam masa sama kita merangka strategi yang terbaik untuk pasukan sebelum diterjemahkan dalam perlawanan sebenar. Secara keseluruhan, masih ada ruang yang boleh ditambah baik sebelum SOJC bermula,” katanya.

Vikneswaran berkata, pasukan yang dipilih pada musim ini rata-ratanya mempunyai kemahiran yang baik dan boleh digilap lagi bagi menjadikan persembahan pasukan lebih ampuh.

Walaupun ada beberapa muka baharu bersama pasukan dan pemain yang baru menyertai pasukan selepas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

Jelasnya, SOJC penting bagi membentuk pasukan yang berkualiti dalam menuju matlamat utama, iaitu melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja di India pada tahun depan.

“SOJC ini medan kita sebelum kejohanan Piala Remaja Asia, yang penting bagi kelayakan pasukan kebangsaan ke Piala Dunia Remaja. Justeru, kita tidak pandang rendah kejohanan ini. Tambahan, pasukan New Zealand dan Australia juga menurunkan skuad terbaik memandangkan mereka akan berdepan kelayakan Piala Dunia Remaja bagi zon Oceania. 

“Begitu juga juara tiga kali SOJC, India yang telah membuat persediaan ke Piala Dunia Remaja lebih awal di Eropah. Jadi, ini peluang untuk uji setakat mana kekuatan pasukan,” katanya. –  UTUSAN

Scroll to Top