Skuad Bunga Raya tagih magis Saizul

Skuad Bunga Raya tagih magis Saizul

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih baharu skuad Bunga Raya 15 Malaysia, Mohd Saizul Hafifi Md Noor jelas tidak boleh goyang kaki apabila beliau diberikan tugas berat untuk mencipta keputusan positif pada kejohanan Ragbi Asia Divisyen Premier bermula April ini.

Perkara itu ditekankan Presiden Ragbi Malaysia (MR), Amir Amri Mohamad yang menjelaskan bahawa pelantikan Mohd Saizul adalah bagi memberi nafas baharu terutamanya merangka persiapan rapi bagi mengharungi kejohanan pada tahun ini.

Beliau berkata, Mohd Saizul dilantik bagi menggantikan Mohd Farid Syazwan Abu Bakar yang sebelum inimengemudi pasukan untuk tempoh dua tahun.

“Tugasan pertama beliau adalah membentuk pasukan Bunga Raya untuk beraksi di pentas playoff pada April. Namun, segalanya bergantung kepada keputusan Ragbi Antarabangsa pada 18 februari ini sama ada Sri Lanka akan beraksi atau sebaliknya.

“Kita mahu memandang ke depan dan perlukan jurulatih baharu dengan itu jawatankuasa kejurulatihan mencadangkan supaya Saizul diberikan peluang mengemudi pasukan Bunga Raya,” katanya, dalam sidang media Pengumuman Barisan Kejurulatihan Bunga Raya 2025.

Selain itu, Amir Amri berkata, bagi pasukan 7 sebelah kebangsaan, MR memutuskan untuk mengekalkan kedua-dua jurulatih pasukan lelaki serta wanita.

“Nik Safuan Samade Nik Man akan terus membimbing pasukan 7 sebelah lelaki manakala Mohammad Faiz Samsukhidir akan terus bersama pasukan wanita.

“Kedua-duanya mereka berdepan tugasan mencari kilauan pingat di Sukan Sea yang bakal berlangsung di Thailand hujung tahun ini.

“Matlamat adalah mengejar keputusan lebih baik selepas kedua pasukan menamatkan saingan Asia Rugby Emirates Sevens Series di tangga keenam keseluruhan untuk kempen 2024,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top