Skuad berbasikal trek negara sedia 'berperang'

Skuad berbasikal trek negara sedia 'berperang'

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kem berbasikal trek kini sudah bersedia ‘berperang’ apabila mereka selamat tiba di Paris untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024.

Datuk Azizulhasni Awang yang akan tampil buat kali kelima di temasya terbesar itu masih lagi menjadi sandaran negara untuk menghadiahkan emas pertama.

Perjuangan Azizulhasni di Velodrom de Saint-Quentin en Yvelines kali ini akan ditemani Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang mana acara berbasikal trek dijadual membuka tirai pada 7 Ogos ini.

Azizulhasni berkata, misinya masih sama iaitu memburu emas pertama dan dia kini sudah bersedia sepenuhnya untuk melancarkan ‘perang’.

“Harapan yang sama masih diletakkan di bahu saya dan saya sudah sedia. Saya sendiri tahu semua orang nak Malaysia dapat emas di Olimpik apatah lagi saya ini yang sudah mencuba sebanyak empat kali. Ini kali kelima dan akan jadi Olimpik terakhir juga.

“Saya bersedia mengambil tanggungjawab ini dan berharap Olimpik terakhirnya akan memberi tuah untuk saya menghadiahkan emas itu. “Hari-hari saya berdoa semoga dapat dan harap semua orang juga terus berdoa sehingga hari pertandingan,” kata Azizulhasni kepada wartawan TV3 sebaik tiba di Paris, semalam.

Azizulhasni dan Shah Firdaus akan beraksi dalam acara pecut dan keirin manakala Izzah dijadual menyertai acara keirin pada 8 Ogos disusuli pecut, tiga hari kemudian.

Untuk rekod, Azizulhasni pernah meraih gangsa pada penampilannya di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020 dan atlet berusia 36 tahun itu kini hanya menunggu hari pertandingan.

Mengulas mengenai keadaan dirinya yang sebelum ini mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA), Azizulhasni berkata, semuanya berada dalam keadaan terkawal.

Malah perkara itu langsung tidak membimbangkannya berikutan dia ditemani pakar jantung dari Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon.

“Keadaan terkawal. Kehadiran Dr Jeffrey akan buat saya rasa sedikit selamat sekiranya ada berlaku perkara tidak diingini.

“Gembira dan terima kasih kepada Tan Sri Norza, MOM (Majlis Olimpik Malaysia), ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan), YB Hannah (Menteri Belia dan Sukan),” katanya.

Jeffrey bersama pasukan perubatan ISN akan menjaga dan memantau rapi tahap kesihatan dan keselamatan Azizulhasni di Paris.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top