sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia bermula langkah kiri apabila tewas 2-3 kepada Hong Kong dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan skuad badminton negara yang berada dalam Kumpulan B, selangkah untuk pulang awal sekiranya mereka turut tewas dalam perlawanan kedua menentang pasukan pilihan, Indonesia esok.
Pasukan negara wajib menang untuk menghidupkan peluang ke suku akhir namun jika sebaliknya, mereka akan menamatkan perjalanan di BAMTC lebih awal pada edisi kali ini.
Terdahulu pada perlawanan itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang diberikan peranan utama gagal menjelmakan kemenangan selepas tewas kepada Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dalam pertarungan tiga set 17-21,21-17, 21-11 dalam masa 59 minit.
Namun begitu, pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas menang ke atas S Mehta 21-18,21-18 dalam perlawanan kedua sebelum pemain perseorangan lelaki Hong Kong, Lee Cheuk Yiu kembali memberi kelebihan 1-2 buat mereka apabila mudah mengatasi Justin Hoh straight set 21-19,21-16 dalam masa 46 minit.
Hong Kong mengesahkan kemenangan menerusi beregu wanita, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam apabila tidak berdepan masalah besar menundukkan wakil negara, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee 21-17, 21-14.
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turun dalam perlawanan terakhir memberi sedikit senyuman buat kem negara apabila menang ke atas Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai 21-13, 21-11 dalam masa 27 minit sahaja namun itu agak terlewat untuk menghalang kemenangan sulung Hong Kong dengan keputusan penuh 2-3.
Semalam, Indonesia mencatat kemenangan mudah selepas menang 5-0 ke atas Hong Kong sekali gus memberi amaran awal kepada pasukan Malaysia.
Untuk rekod, pada edisi 2023, Malaysia berjaya melepasi peringkat kumpulan namun harapan untuk ke peringkat suku akhir lebur selepas pasukan negara tumpas kepada China menerusi keputusan 2-3.
© New Straits Times Press (M) Bhd