am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri menyumbang dua tan metrik beras dan 0.80 tan metrik minyak masak kepada 400 mangsa banjir di negeri ini.
Pengarah SKM negeri, Awang Ruslli Mohammad berkata, sumbangan termasuk barangan keperluan asas lain yang setiap satu bernilai RM150 disampaikan kepada 400 keluarga yang terkesan banjir gelombang pertama bermula akhir bulan lalu.
Katanya, sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir itu diagihkan di lima daerah di negeri ini.
“Sumbangan diagihkan kepada 100 mangsa banjir di daerah Kemaman, Dungun dan Besut, manakala 50 di daerah Kuala Terengganu dan Setiu.
“Misi bantuan SKM negeri diwujudkan sebagai menyahut seruan kerajaan mempergiatkan pembabitan penjawat awam dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai sukarelawan banjir,” katanya.
Terdahulu, Awang Ruslli melepaskan konvoi misi bantuan banjir di perkarangan Wisma Persekutuan di sini, hari ini. Hadir sama Pengerusi Gerakan Koperasi Terengganu (Kopter), Datuk Hashim Mamat.
Mengulas mengenai koperasi yang terjejas dengan banjir, Awang Ruslli, berkata sebanyak 31 daripada 828 koperasi berdaftar di seluruh negeri yang terkesan dengan banjir memohon bantuan untuk mengaktifkan semula aktiviti.
Katanya, SKM negeri dan kerjasama Kopter mengeluarkan bantuan daripada tabung kecemasan sebanyak RM30,000 kepada 17 koperasi, manakala permohonan 14 lagi sedang dalam proses kelulusan.
“Setakat ini kita sudah mengeluarkan bantuan daripada tabung kecemasan berjumlah RM510,000 kepada 17 koperasi yang terkesan banjir,” katanya.
Dalam pada itu Ruslli berkata, Lembaga Pengarah SKM, Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal meluluskan dua bot penyelamat untuk melakukan kerja menyelamat mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi menghadapi banjir gelombang kedua.
“Bot penyelamat berserta enjin dan 20 jaket keselamatan itu kini ditempatkan di Kemaman dan akan digerakkan untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd