Skandal rasuah lesen mineral di Sabah harus disertakan bukti

Skandal rasuah lesen mineral di Sabah harus disertakan bukti

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemantau rasuah, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), menegaskan bahawa segala dakwaan berkaitan skandal rasuah lesen mineral di Sabah harus disertakan dengan bukti yang sahih dan melalui proses pengesahan yang telus.

Kenyataan MCW itu susulan kenyataan Latheefa Koya mengenai pembabitan Ketua Menteri Sabah serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam isu itu.

Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyambut baik tindakan segera Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat perkara itu dan memanggil pengadu bagi memberikan keterangan lanjut.

Namun, beliau menegaskan bahawa video yang dikemukakan oleh individu bernama Albert yang didakwa sebagai bukti kukuh, adalah tidak berasas kerana ia tidak melalui verifikasi forensik yang ketat.

“Sebarang bahan bukti mestilah diuji untuk memastikan keasliannya dan tidak dimanipulasi bagi kepentingan tertentu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa video yang tersebar sebelum ini disunting, menimbulkan keraguan terhadap ketulenannya.

“Walaupun Latheefa Koya mendakwa memiliki versi penuh video itu, ditegaskan bahawa ia perlu melalui ujian pakar forensik digital sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk membuat dakwaan terbuka sebelum proses pengesahan selesai. Tindakan seperti ini hanya mengganggu siasatan rasmi yang sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, MCW menjelaskan bahawa SPRM tidak pernah memberhentikan siasatan, malah beberapa kali menyeru pemberi maklumat membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.

Jais turut menegaskan bahawa perlindungan kepada pemberi maklumat hanya boleh dimulakan selepas laporan rasmi dibuat mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Menurutnya, perlindungan tidak boleh diberikan kepada individu yang terbabit secara langsung dalam kegiatan rasuah kecuali mereka bertindak secara ‘bona fide’ untuk membongkar jenayah tanpa kepentingan peribadi.

Sementara itu, Jais turut mengkritik kenyataan Latheefa yang menyamakan kes itu dengan kes Datin Seri Rosmah Mansor, dengan menegaskan bahawa setiap kes mempunyai fakta dan konteks tersendiri.

Keputusan untuk memberi imuniti atau perlindungan kepada saksi, katanya, bergantung kepada tahap pembabitan mereka dalam jenayah berkenaan.

“MCW menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah mesti dilakukan secara adil, berasaskan bukti yang kukuh dan mengikut prinsip kedaulatan undang-undang.

“Tuduhan tanpa asas yang dibuat melalui media hanya akan menimbulkan kekeliruan dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, MCW menyeru semua pihak tidak membuat spekulasi atau menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini.

Sebarang bukti yang sahih harus diserahkan kepada SPRM melalui saluran yang betul, dan bukannya digunakan untuk kepentingan politik atau peribadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top