Seoul: Media sosial pelakon, Kim Soo Hyun, 37, dibanjiri kecaman dan reputasinya tercalar teruk selepas skandalnya dengan mendiang Kim Sae Ron terbongkar beberapa hari lalu.
Rata-ratanya menyatakan kekecewaan terhadap Soo Hyun dan tidak menyangka dia sebenarnya sejahat itu. Malah, ramai mendesak namanya digugurkan dari segala projek membabitkannya.
Kemarahan itu tercetus apabila pelakon Queen of Tears itu dikatakan menjalin hubungan dengan Sae Ron ketika mendiang berusia 15 tahun, manakala Soo Hyun berusia 27 tahun ketika itu.
Pendedahan itu dibuat keluarga mendiang di saluran YouTube Garo Sero Institute. Mereka menunjukkan bukti foto intim Soo Hyun dan Sae Ron untuk mengesahkan hubungan itu.
Bagaimanapun, agensinya Gold Medalist menafikan tuduhan itu dan tidak tahu apa niat di sebalik pendedahan keluarga mendiang.
Skandal itu kian menjadi-jadi apabila pelbagai spekulasi tiimbul. Malah, Soo Hyun didakwa menjadi punca Sae Ron meninggal dunia pada 16 Februari lalu.
Keluarganya turut mendedahkan teks mesej Sae Ron merayu kepada Soo Hyun untuk memberinya masa membayar semula hutang berjumlah RM2.3 juta selepas menerima surat saman daripada Gold Medalist.
Sae Ron berjanji akan membina kariernya dan membayar hutang itu secara berperingkat daripada pendapatan setiap projeknya. Bagaimanapun, tidak menerima maklum balas daripada Soo Hyun.
Terdahulu, Gold Medalist dikatakan membantunya membayar saman RM2.3 juta itu selepas Sae Ron terbabit dalam kes memandu dalam keadaan mabuk.
Pada Februari lalu, pemergian tragis Sae Ron, 24, sangat mengejutkan industri hiburan. Mendiang ditemui meninggal dunia di rumahnya di Seongsu-dong, timur Seoul, oleh rakannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd