SJR diperbanyakkan sepanjang RX-Z Member 6.0

SJR diperbanyakkan sepanjang RX-Z Member 6.0

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Polis akan menambah sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini sepanjang penganjuran RX-Z Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada 13 dan 14 September ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan peserta mematuhi undang-undang ditetapkan seterusnya menjaga ketenteraman awam.

Beliau berkata, pihaknya tidak menggunakan istilah ‘pukat’ namun akan mengadakan SJR rutin dan tugasan penguatkuasaan undang-undang seperti yang termaktub.

Katanya, rondaan akan dijalankan di setiap daerah pada waktu siang dan malam terutama di kawasan-kawasan perumahan manakala SJR hanya akan dibuat di lokasi berbeza di bandar Kuala Terengganu.

“Seramai 101 pegawai dan anggota polis serta 50 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditugaskan sepanjang program berkenaan.

“Dianggarkan program itu menerima 80,000 penyertaan dari seluruh negara dan penugasan serta perancangan adalah demi memastikan aliran trafik dan keselamatan di tapak program berjalan lancar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Ketika ditanya sekiranya akan berlaku lagi ‘pukat’ seperti tahun lalu, Mohd Khairi memberi jaminan ia tidak akan berulang namun berharap semua peserta dapat mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Namun SJR di kawasan-kawasan ‘hot spot’ akan dilakukan,” katanya.

Tambah Mohd Khairi lagi, polis akan menutup jalan utama di Litar Permotoran Terengganu sepanjang tempoh berkenaan dengan hanya motosikal sahaja dibenarkan masuk bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan menjaga ketenteraman awam sepanjang program.

Katanya, mengulas mengenai statistik kemalangan RX-Z Member 5.0, sebanyak empat kemalangan direkodkan iaitu tiga di daerah Kemaman dan satu di Hulu Terengganu.

“Sepanjang tempoh itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ( JSPT) Terengganu menjalankan Op Khas Motosikal dengan sebanyak 292 keping saman dikeluarkan.

“Dalam tempoh sama, JPJ Terengganu turut mengeluarkan sebanyak 311 keping saman membabitkan pelbagai jenis kesalahan serta menyita sebanyak 111 buah motosikal,” katanya.

Mohd Khairi berkata, peserta diminta mematuhi peraturan seperti memastikan nombor pendaftaran kenderaan mengikut piawaian yang ditetapkan selain ekzos kenderaan tidak diubah suai dan setiap kenderaan perlu berhenti di sekatan jalan raya untuk pemeriksaan pihak berkuasa.

Katanya, kenderaan yang tiada perlindungan insurans, cukai jalan tamat tempoh, pemandu tidak mempunyai lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh adalah tidak dibenarkan memandu dan menyertai program ini.

“Saya mengalu-alukan kehadiran peserta RX-Z Member 6.0 ke Terengganu namun semua peserta diingatkan untuk mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd