am@hmetro.com.my
Georgetown: “Dia isteri saya dan saya adalah suaminya yang sah. Bila ramai fitnah, kata arwah janda… saya sedih,” luah Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal, 30-an.
Lelaki itu suami kepada Allahyarham Siti Zulaila Zulkifli, 30, yang maut ditikam di hadapan lif pangsapuri di Ayer Itam pada Khamis. Turut meninggal dunia bapa Siti Zulaila, Zulkifli Ibrahim, 62.
Ketika ditemui pada majlis pengebumian dua beranak itu malam tadi, Mohamad Shazwan berkata, dia terkesan dengan dakwaan dibuat orang ramai yang menggelar Siti Zulaila sebagai janda dan menegaskan arwah masih isterinya.
“Sudahlah sedih isteri ditimpa insiden seperti ini, ditambah pula dengan dakwaan tidak sepatutnya, buatkan kami sebagai keluarga sangat terkesan,” katanya.
Lelaki itu juga berharap suspek yang ditahan kerana menyebabkan kematian isteri dan bapa mentuanya dikenakan hukuman setimpal.
Terdahulu, jenazah dua beranak berkenaan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Tanjong Tokong, di sini.
Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Tuan Guru yang dihadiri kira-kira 300 orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd