Siti taja 20 pasangan cuba dapat anak guna IVF

Siti taja 20 pasangan cuba dapat anak guna IVF

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menawarkan tajaan kepada 20 pasangan yang layak untuk mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) bagi membantu pasangan sudah lama berkahwin mendapatkan zuriat.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 45, berkata, peluang yang dibuka menerusi Yayasan Nurjiwa itu hanya memerlukan pasangan mendaftar di platform badan amal terbabit sebelum melalui tapisan awal.

“Assalamualaikum, saya ingin berkongsikan berita gembira kepada semua pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga dan sedang berusaha mendapatkan cahaya mata.

“Kalian kini boleh memohon dalam program IVF Nurjiwa: Sempurnakan Sebuah Cinta dengan hanya penuhi kriteria diperlukan.

“Permohonan terhad kepada 20 pasangan sahaja. Selamat mencuba dan semoga impian anda semua jadi kenyataan,” ujarnya menerusi video dalam TikTok.

Ini bukan kali pertama isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu membantu orang ramai.

Sebelum ini, ibu kepada dua anak itu pernah memberi sumbangan kepada pengamal media yang kurang bernasib baik atau berada dalam kesulitan.

Malah menerusi platform Yayasan Nurjiwa, Siti turut membantu lebih 10,000 rakyat Palestin setiap hari dengan menyalurkan bantuan perubatan dan makanan. – MalaysiaGazette