Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila anak sulungnya Siti Aafiyah Khalid, 7, sudah mula belajar berpuasa penuh.
Kata Siti ketika ditemui XTRA, sebagai seorang ibu, dia berasa bangga apabila melihat anak perempuannya itu bersemangat untuk mengerjakan ibadah puasa.
“Alhamdulillah, saya sebenarnya mak kan bila tengok anak kita kurus tapi nak berpuasa memang tertanya boleh ke? Tapi nasib baik hari kita berpuasa tu jatuh pada hari Ahad, jadi kita boleh monitor dia.
“Masa hari pertama tu saya rasa happy sebab dia tak ada mengadu, melepek dan sebagainya. Dan hari kedua, dia bersekolah tapi dia berpuasa penuh, alhamdulillah. Seronok,” katanya.
Melihat Aafiyah nekad untuk berpuasa penuh, pelantun lagu Percayalah itu juga bersemangat untuk menyediakan makanan kegemaran anaknya ketika berbuka dan juga bersahur.
Ini termasuklah memberikan ganjaran kepada Aafiyah sekiranya dia berjaya berpuasa penuh sepanjang Ramadan.
“Aafiyah kalau makan sahur memang makanan kegemaran dia, bijirin. Tapi saya sediakan juga nasi dan roti. Macam berbuka dia suka makan makanan Barat macam Bolognese.
“Untuk menu sahur, saya akan masak sebelum masuk tidur. Jadi, keesokan paginya hanya panaskan.
“Iya, saya akan beri RM100 sehari. ganjaran kepada Siti Aafiyah. Ayahnya pun janjikan ganjaran juga.
“Walaupun masih belum faham nilai wang sebab kecil lagi, tapi nampaklah Siti Aafiyah seronok dan teruja nak berpuasa,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Siti ketika ditemui pada majlis perasmian Budaya Raya di Pavilion Bukit Bintang baru-baru ini berkata, dia bakal melancarkan lagu raya terbaharunya berjudul ‘Raya Nak Ke Mana’ hasil ciptaan penyanyi berbakat Aisha Retno.
Lagu dengan elemen zapin ini sekaligus bakal menyaksikan dirinya meneruskan tradisi mendendangkan lagu tradisional.
“Selain itu, artis di bawah naungan syarikat saya, SN Legacy Sdn Bhd, iaitu Umairah sudah pun melancarkan single raya berjudul Tak Balik Raya.
“Kiranya lagu kami macam ada kesinambungan kerana ada soal jawab, iaitu Raya Nak Ke Mana dan jawapannya, Tak Balik Raya,” jelasnya.
Sekadar info, Siti adalah artis pertama yang mempunyai ruang galeri khas yang mempamerkan koleksi busana dan trofi yang pernah dimenanginya sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam bidang seni.
20 busana yang dipamerkan itu terdiri daripada baju yang dipakai ketika Siti membuat persembahan di pentas berskala besar seperti, Anugerah Juara Lagu (AJL), Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudirman dan konsert di Royal Albert Hall, London.