norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, menyifatkan penampilannya dengan lagu raya terbaru, Raya Nak Ke Mana? bukan untuk bersaing dengan bakat muda dan penyanyi lain.
Siti berkata, beliau sekadar ingin memeriahkan industri muzik dan memberi kepelbagaian pilihan lagu raya tahun ini kepada pendengar selain peluang bekerjasama dengan komposer muda berbakat.
“Saya tak adalah macam nak bersaing. Kita nak memeriahkan saja. Mungkin sebab saya ini nampak senior dan sudah ‘senja’ sedikit.
“Bila dah ‘senja’ ini, lagu-lagu raya saya yang dulu memang menjadi siulan. Jadi, jangkaan orang itu tinggi kepada lagu raya saya yang baharu.
“Tapi, baik di hati saya memang saya bukan nak bersaing dengan anak-anak muda. Mereka ada kelebihan mereka tersendiri. Saya nak mengekalkan saja lagu raya dengan konsep dibawakan,” katanya kepada Harian Metro.
Siti yang popular dengan lagu Nazam Lebaran dan Sesuci Lebaran ini turut menyarankan bakat-bakat muda tanah air supaya terus berkarya dalam penciptaan lagu dan meriahkan industri seni.
Ditanya mengenai lagu Raya Nak Ke Mana? ciptaan Aisha Retno, RADi dan Amylea Azizan itu yang menjadi pilihannya, Siti berkata, ia masih mengekalkan ciri kemeriahan sambutan Aidilfitri sebagai orang Melayu.
“Saya ada menerima 10 lagu raya hasil ciptaan semuanya daripada komposer muda dan baharu. Tetapi, saya lebih tertarik untuk merakamkan lagu Raya Nak Ke Mana? ini daripada Aisha Retno dan adiknya, RADi serta Amylea.
“Lagu ini (Raya Nak Ke Mana?) ada rentak zapinnya dan saya teringatkan karya-karya lagu daripada Allahyarham Pak Ngah.
“Lagu-lagu macam ini (rentak zapin) tak asing untuk saya sampaikan dan bila kata raya, kita orang Melayu memang ‘enjoy’ betullah kalau ada irama seperti ini,” katanya.
Siti berkata, apabila Aisha memberikannya lagu itu yang berentak zapin dengan sentuhan lebih moden, beliau berasakan ia sangat sesuai untuk dibawakan sebagai buah tangan terbaharu.
Dilancarkan baru-baru ini, muzik video lagu Raya Nak Ke Mana? di YouTube sudah mencatat lebih 500,000 tontonan dan sohor kini (trending) #4 untuk YouTube Muzik Malaysia.
Dua tahun lalu, Siti juga muncul dengan raya, lagu Lip Lap Raya ciptaan empat komposer iaitu Ajay Mai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan yang bergenre Irama Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd