Sistem DEEP jadi peringatan pada pemimpin tinggi perkhidmatan awam

Sistem DEEP jadi peringatan pada pemimpin tinggi perkhidmatan awam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendekatan mengenakan tindakan disiplin terhadap pemimpin tinggi jabatan perkhidmatan awam yang gagal menerusi Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) boleh menjadi peringatan kepada mereka supaya lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, walaupun menyokong tindakan tegas itu, namun proses terbabit perlu disertai dengan langkah peningkatan keupayaan, termasuk sokongan teknikal bagi memastikan semua pihak memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam sistem ini.

“Tindakan disiplin terhadap ketua setiausaha (KSU) dan ketua jabatan yang gagal adalah wajar kerana mereka memegang peranan penting dalam memastikan kejayaan sistem DEEP.

“Langkah ini adalah selaras dengan usaha memastikan integriti dan keberkesanan pengurusan dalam perkhidmatan awam.

“Cuepacs yakin bahawa tindakan tegas ini bukan saja akan memperkasakan sistem DEEP tetapi juga meningkatkan kualiti kepimpinan dalam perkhidmatan awam,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, bahawa ketua jabatan dan pemimpin perkhidmatan awam termasuk KSU kementerian boleh berdepan implikasi kenaikan gaji tahunan disekat, tiada kenaikan pangkat atau dipindahkan ke jabatan lain jika gagal dalam sistem DEEP mulai tahun ini.

Sistem DEEP diperkenalkan sebagai alat untuk memantau dan menilai prestasi penjawat awam secara objektif, telus, dan berkesan.

Oleh itu, pelaksanaannya yang tegas amat penting dalam memastikan perkhidmatan awam dapat mencapai tahap kecemerlangan yang diharapkan.

Pada masa sama, Adnan berkata, pemimpin tertinggi di setiap jabatan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan pelaksanaan sistem DEEP berjalan lancar.

Beliau berkata, sikap sambil lewa atau tidak mengambil serius tanggungjawab ini mencerminkan kelemahan kepimpinan yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam secara keseluruhan.

“Pelaksanaan DEEP yang berkesan adalah satu langkah penting ke arah transformasi perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berintegriti. Oleh itu, kerjasama erat antara kepimpinan jabatan dan penjawat awam perlu diperkukuhkan untuk memastikan matlamat ini tercapai.

“Kami menyokong penuh usaha KPPA dalam memastikan sistem ini berjaya dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top