Sinner mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia

Sinner mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia

Melbourne: Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner buat kali pertamanya tewas satu set dalam 14 perlawanan sebelum bangkit dan meletakkan misi mempertahankan gelarannya di Terbuka Australia kembali berada di landasan tepat.

Pilihan utama dari Itali itu nyata seakan buntu pada awal perlawanan menentang pemain Australia yang beraksi di atas tiket wildcard, Tristan Schoolkate, namun kembali menemui rentak untuk meraih kemenangan 4-6, 6-4, 6-1, 6-3.

Kemenangan itu adalah yang ke-16 berturut-turut baginya, sekali gus memberi petanda kurang menyenangkan buat lawannya di pusingan ketiga, Marcos Giron selepas ini.

Lawannya dari Amerika Syarikat (AS) itu meraih tiket ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain Argentina, Tomas Martin Etcheverry.

“Ia sentiasa sukar untuk bermain menentang seorang pemain yang tidak begitu saya kenali.

“Saya rasa servisnya sangat baik, bermain dengan lebih baik berbanding saya di awal perlawanan,” kata Sinner.

“Namun saya masih gembira dengan prestasi saya. Kamu tidak boleh mengambilnya dengan sambil lewa, jadi saya bersyukur kerana mara ke pusingan seterusnya.

“Ia satu perlawanan yang sangat sengit. Ya, saya boleh mempamerkan peningkatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top