Turin, Itali: Jannik Sinner mengakui masih ada aspek perlu diperbaikinya tahun depan selepas kali pertama menjuarai Pusingan Akhir ATP, awal pagi tadi sekali gus melengkapkan musim sempurna selaku pemain nombor satu dunia.
Sinner yang berusia 23 tahun menewaskan Taylor Fritz 6-4, 6-4 pada kejohanan penamat musim itu di Turin, gelaran kelapannya musim ini yang bermula dengan kejayaan Grand Slam di Terbuka Australia.
Dia meneruskannya dengan gelaran utama kedua di Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada September walaupun berdepan kontroversi doping.
Ketika masih menunggu keputusan kesnya, Sinner memperkatakan mengenai visi pada 2025 dengan menyasarkan untuk terus meningkatkan prestasi sekali gus amaran kepada pencabar daripada pemain yang menang 26 daripada 27 perlawanan terakhirnya.
“Apa sahaja kami dapat rebut, kami manfaatkan dan selebihnya kami belajar. Saya fikir ia mentaliti kami terapkan sepanjang tahun, cuba meningkatkan tahap permainan pada peringkat tertentu dan itu yang saya lakukan sepanjang tahun ini,” kata Sinner.
“Saya gembira kerana ia cara terbaik menamatkan musim dengan gemilang. Banyak kemenangan dan banyak gelaran.”
Sinner pemain Itali pertama menjuarai Pusingan Akhir ATP dalam sejarah 55 tahun dan pemain pertama dari negaranya yang menduduki ranking teratas ATP.
© New Straits Times Press (M) Bhd