Paris: Pemain Monaco, Wilfried Singo meminta maaf kepada penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Donnarumma selepas pemain Itali itu cedera teruk di kanan muka berikutan perlanggaran antara mereka pada aksi Ligue 1, awal pagi semalam.
Donnarumma terpaksa menerima 10 jahitan berikutan bahagian kanan mukanya cedera selepas terkena tapak but Singo pada perlawanan menyaksikan PSG menang 4-2, semalam.
“Saya mahu meminta maaf kepada Gianluigi Donnarumma. Tindakan saya sudah semestinya tidak disengajakan, tetapi saya dapat melihat bahagian kanan mukanya cedera teruk,” tulis Singo di Instagram.
Dia kemudian mendoakan supaya penjaga gol itu cepat sembuh dan boleh bermain semula.
Akibat insiden itu, Donnarumma tidak mampu meneruskan permainan dan digantikan oleh Matvey Safonov.
Kenyataan PSG memaklumkan dia akan menjalani pemeriksaan lanjut hari ini dan tidak akan bermain selama beberapa hari.
Gambar disiarkan PSG menunjukkan kedua-dua pemain bersalaman selepas perlawanan dan pemain Itali itu memberitahu Singo yang juga pemain Ivory Coast: “Jangan risau, semuanya baik-baik saja.”
Singo yang sebelum itu sudah dilayangkan kad kuning, tidak menerima kad merah atau kad kuning kedua selepas insiden berkenaan selepas pengadil menyifatkannya sebagai sebahagian daripada aksi, kata kapten PSG, Marquinhos.
© New Straits Times Press (M) Bhd