rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ejen haram yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan permit kerja asing didalangi warga Bangladesh ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) susulan penahanan empat individu dalam serbuan di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.
Dalam serbuan 11.50 pagi di dua premis berasingan itu, keempat-empat suspek termasuk dua bersaudara yang berusia antara 23 hingga 48 tahun ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.
Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu.
“Dalam serbuan di rumah kedai dan kediaman berjaya menahan empat lelaki warga asing terdiri daripada seorang warga Bangladesh dipercayai dalang utama manakala seorang lagi warga Bangladesh iaitu saudaranya dan masing-masing seorang warga India serta Indonesia yang dipercayai ejen.
“Semakan mendapati tiga lelaki memiliki pas penggajian sah manakala seorang lagi suspek didapati tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan turut menyita 48 naskah pasport negara Bangladesh, pasport Indonesia (6), masing-masing dua pasport India dan Pakistan selain wang tunai sebanyak RM2,400 serta pelbagai dokumen syarikat termasuk lesen.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan imigresen berkaitan permit kerja pekerja asing yang ingin memperbaharui permit kerja dan kadar bayaran dikenakan antara RM1,000 sehingga RM2,000 bagi setiap pemohonan.
“Siasatan mendapati sindiket beroperasi sejak setahun lalu dan mempromosikan perkhidmatan mereka di media sosial,” katanya.
Menurut Zakaria, kesemua suspek dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, kes juga disiasat DBKL di bawah Seksyen UUK 20(1)(e) Pelesenan TRED, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016 atas kesalahan menjalankan aktiviti selain dinyatakan dalam lesen dan Seksyen 79(1) Akta Parit dan Bangunan 1974.
© New Straits Times Press (M) Bhd