Sindiket pemerdagangan manusia dikenali sebagai Geng Kribo tumpas

hafidzul@hmetro.com.my

Kajang: Simpan pendatang asing tanpa izin (Pati) di rumah kosong sebelum diseludup keluar.

Itu modus operandi sindiket penyeludupan manusia dikenali sebagai Geng Kribo yang menjadikan rumah kosong di Batu 14, Hulu Langat, di sini, sebagai rumah penampungan.

Kegiatan itu dikesan menerusi Op Pintas yang dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, jam 5.10 petang, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada operasi itu, pihaknya menahan 32 warga asing termasuk 14 wanita.

Menurutnya, semakan mendapati, empat migran lelaki adalah warga Bangladesh, manakala selebihnya warga Indonesia.

“Pada masa sama, antara yang ditahan ialah seorang wanita yang sedang hamil enam bulan dan kanak-kanak berumur satu tahun bersama ibunya yang berumur 22 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kegiatan ini didalangi Geng Kribo dan migran ini perlu membayar kepada ejen antara RM1,600 hingga RM2,500 seorang,” katanya dihubungi, hari ini.

Soffian berkata, polis turut menahan dua lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dan transporter atau ejen untuk tindakan di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.

“Soal siasat awal mendapati, rumah itu digunakan sindiket sejak tiga bulan lalu.

“Semua warga asing itu dipercayai akan dibawa keluar ke Indonesia menggunakan jalan laut,” katanya.

Kesemua migran dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd