harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 58 laporan berhubung sebuah syarikat pembekal mesin layan diri yang dipercayai menawarkan skim pelaburan meragukan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kerugian keseluruhan membabitkan syarikat berkenaan berjumlah RM6.97 juta.
“Setakat ini kita sudah membuka lima kertas siasatan yang membabitkan kerugian RM192,250, manakala 54 laporan polis membabitkan kerugian RM6.7 juta diklasifikasikan ROR (Refer to Other Report).
“Jumlah keseluruhan laporan polis adalah 58 kes yang melibatkan kerugian hampir RM7 juta dan lima kes sedang dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, lebih 50 individu mendakwa kerugian sekurang-kurangnya RM5.2 juta selepas melabur dalam skim pelaburan mesin layan diri yang dipercayai palsu, didalangi sebuah syarikat berpangkalan di Johor.
Meskipun banyak laporan dibuat, syarikat yang dikatakan mempunyai beberapa cawangan di seluruh negara itu masih aktif mempromosikan skim berkenaan di media sosial, menjanjikan pulangan lumayan tanpa bukti kewujudan mesin yang dijanjikan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim dilapor berkata, setakat ini, 54 mangsa tampil membuat aduan kepada pihaknya selepas buntu berikutan kebanyakan laporan dibuat diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atau rujuk agensi lain (ROA).
Menurutnya, ada dalam kalangan mangsa yang melaburkan sehingga RM450,000 kononnya untuk mendapatkan 15 unit mesin layan diri menjual produk makanan yang dipercayai tidak wujud.
© New Straits Times Press (M) Bhd