am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai lebih RM155,000 susulan penahanan lima lelaki dalam beberapa serbuan sekitar Seberang Perai Tengah serta Seberang Perai Selatan, di sini, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan antara jam 1.30 tengah hari hingga 2.45 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Katanya, dalam serbuan pertama di Permatang Pauh, polis menahan dua lelaki dan merampas 357 gram (g) dadah jenis heroin dan syabu.
“Berpandu arah tangkapan pertama, polis dibawa ke kawasan berhampiran dan merampas hampir 11 kilogram (kg) dadah yang kesemua bernilai lebih RM155,000.
“Hasil siasatan kemudian membawa kepada beberapa lagi serbuan serta menahan tiga lelaki tempatan di kawasan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, kelima-lima lelaki itu berusia antara 33 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan risikan mendapati sindiket pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan mensasarkan pasaran tempatan.
“Semakan mendapati tiga daripada lima berusia antara yang ditahan mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.
“Ujian saringan air kencing mendapati dua tangkapan positif dadah,” katanya.
Hamzah berkata, turut disita beberapa kenderaan dan barang kemas, yang mana nilai keseluruhan sitaan lebih RM1 juta.
“Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 24 April untuk siasatan dan es disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd