Sindiket digempur, cecair vape dicampur dadah bernilai RM10 juta dirampas

Sindiket digempur, cecair vape dicampur dadah bernilai RM10 juta dirampas

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis merampas 133,132 mililiter (ml) cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai hampir RM10 juta menerusi beberapa serbuan dan tangkapan di sekitar Serdang pada 17 hingga 19 Februari lalu.

Turut ditahan adalah tujuh individu, iaitu lima lelaki warga asing dan masing-masing seorang lelaki serta wanita warga tempatan berusia 21 hingga 37 tahun.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia adalah rampas terbesar untuk Polis Kontinjen Selangor membabitkan cecair rokok elektronik dicampur methamphetamine, setakat ini.

Menurutnya, pada 17 Februari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor menahan seorang wanita di lobi sebuah kondominium di Seri Kembangan yang memegang dua kotak katrij cecair rokok elektronik bercampur dadah dengan anggaran lima mililiter.

“Wanita itu kemudian memandu arah polis ke sebuah unit kondominium dan menemui 58 kotak katrij cecair rokok elektronik bercampur dadah dengan anggaran isipadu 127 mililiter.

“Daripada tangkapan tersebut, polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan tempat pemprosesan cecair rokok elektronik berkenaan di sekitar Seri Kembangan pada jam 10.15 malam.

“Menerusi serbuan itu, polis menahan lima lelaki warga asing dan merampas sejumlah 33,019 kotak katrij berisi cecair terbabit dengan anggaran isipadu 133,000 mililiter bernilai RM9,924,000 mengikut harga pasaran.

“Turut dirampas adalah 43 tong dan botol berisi cecair kimia serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus semua cecair rokok elektronik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, pada 19 Februari lalu, seorang lelaki yang berperanan sebagai pembancuh dalam penghasilan cecair bercampur dadah itu ditahan di sekitar Puchong.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan kesemua suspek didapati bekerja sepenuh masa dengan sindiket terbabit.

Beliau berkata, sindiket itu juga dipercayai boleh memperoleh hasil sehingga RM2 juta sebulan dengan menjual cecair tersebut.

Dalam pada itu, Hussein berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar membabitkan cecair rokok elektronik bercampur methamphetamine untuk IPK Selangor dan dipercayai untuk pasaran seluruh Malaysia dan luar negara.

“Dalam tiga tahun kebelakangan ini, kita tidak pernah ada serbuan melibatkan rokok elektronik besar-besaran macam ini. Kita selalu terima aduan bahawa ada ‘vape’ yang diambil sesetengah individu mengandungi dadah.

“Kita tidak pernah rampas sebanyak ini. Ini membuktikan memang ada sindiket yang mencampurkan dadah dalam rokok elektronik dan mereka ada tempat memprosesnya,” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, hasil semakan rekod mendapati hanya suspek wanita mempunyai rekod lampau manakala saringan awal air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama lima hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top