Simpulan Islam yang terlerai

Simpulan Islam yang terlerai

Nik Muhammad Nasri Nik Malek

– Advertisement –

Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah, Nabi SAW bersabda:

لَتُنتَقَضَنَّ عُرى الإسلامِ عُروةً عُروةً، فكُلَّما انتَقَضَت عُروةٌ تَشَبَّث النَّاسُ بالتي تليها، فأَوَّلُهنَّ نَقضًا الحُكمُ، وآخِرُهنَّ الصَّلاةُ

Maksudnya: “Akan dilerai simpulan Islam, satu demi satu. Setiap kali satu simpulan terlerai, manusia berpegang kepada simpulan yang berikutnya. Simpulan pertama dileraikan ialah hukum. Yang terakhirnya ialah solat.” (As-Sayuti, Al-Jamek as-Saghir 7214)

– Advertisement –

Hadis di atas menjadi bukti mukjizat Nabi SAW yang memberitahu kepada kita beberapa peristiwa yang akan berlaku. Di antaranya ialah banyak simpulan Islam akan terlerai. Ia tidak terlerai sekali gus, tetapi satu demi satu.

Kewajipan umat Islam ialah berpegang kepada tali Islam secara keseluruhan. Dalam al-Quran, ada 2 tempat disebut mengenai simpulan tali yang teguh. Allah berfirman:

لَآ اِكْرَاهَ فِى الدِّيْنِۗ قَدْ تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَّكْفُرْ بِالطَّاغُوْتِ وَيُؤْمِنْۢ بِاللّٰهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقٰى لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗوَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang (teguh) pada simpulan tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Dan firman-Nya:

وَمَنْ يُّسْلِمْ وَجْهَهٗٓ اِلَى اللّٰهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقٰىۗ وَاِلَى اللّٰهِ عَاقِبَةُ الْاُمُوْرِ

Maksudnya: “Dan barangsiapa berserah diri kepada Allah, sedangkan dia berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang kukuh. Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan.” (Luqman: 22)

Apa erti simpulan Islam atau al-urwatul wusqo? Para ulama menafsirkannya dengan beberapa tafsiran. Ringkasannya mereka menyebutnya sebagai kalimah tauhid iaitu La ilaha illallah, Al-Quran, Iman atau Islam. Semuanya ini betul belaka.

Umat Islam pula mesti masuk ke dalam Islam secara keseluruhan. Firman Allah:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

Kita sedang menyambut peristiwa Israk Mikraj. Kemuncak perjalanan Nabi SAW itu ialah menerima solat fardu. Ia adalah ibadat dan hubungan dengan Allah yang sangat hebat dan kuat.

Namun, dalam masyarakat kita pun, dapat dilihat anggota masyarakat yang tidak solat fardu, sambil lewa mengenainya dan solat di akhir waktu. Sedangkan Nabi SAW menyebut dalam hadis di atas bahawa solat itu ialah simpulan terakhir yang dilerai.

Simpulan pertama yang dilerai ialah hukum. Kita maklum bahawa hukum syarak sudah lama terlerai, terutama selepas kejatuhan khilafah Usmaniyah Turki. Negara umat Islam yang merdeka mewarisi hukum, perlembagaan, sistem dan peraturan jahiliah dari Timur dan Barat. Malaysia tidak terkecuali dari perkara ini.

Justeru, kita tidak pelik apabila ada orang Islam yang bernama Islam, muka macam orang Islam, sama ada beliau itu yang mengadu kepada mahkamah walaupun tiada locus standi, atau menjadi orang yang memutuskan hukum di mahkamah, lalu menjadi ‘pencabar’ kepada agamanya sendiri secara halus.

Sekali lagi disebut. Kewajipan orang Islam sepatutnya menerima Islam secara keseluruhan. Kewajipannya juga ialah mempertahan Islam dan menegakkannya. Kalau ada tafsiran yang meruntuhkan agamanya, sepatutnya beliau berusaha mentafsirkannya secara positif untuk meletakkan agamanya itu tinggi, bukan sebaliknya.

Israk Mikraj disambut pada tahun 1445 Hijrah. Seribu tahun lebih kita jauh dari Nabi SAW. Umat Islam juga jauh dari syariat yang Nabi SAW bawa. Solat diterima oleh Nabi SAW tetapi bukan ‘Maryam’ yang menjadi imam kepada Nabi SAW. Imam itu bererti imam solat atau ‘imam hukum’.

Dunia sudah tua
Kiamat sudah dekat
Hukum Islam dipersenda
Ditolak hukum dan syariat.
– HARAKAHDAILY 10/2/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

– Advertisement –