hartini@hmetro.com.my
Ros atau mawar adalah tumbuhan yang tergolong dalam genus Rosa. Antara spesies bunga yang popular adalah Rosa grandiflora, Rosa bonica dan Rosa floribunda.
Dikatakan nama bunga ros itu sendiri dipercayai berasal daripada mitos Yunani.
Tidak dinafikan ia antara bunga paling popular di dunia dan sering dijadikan tanda cinta, kasih sayang dan persahabatan yang erat.
Bergantung kepada warna, ia juga boleh memberikan maksud tersendiri kepada penerima.
Sesetengah warna juga sebenarnya sesuai diberikan pada hari atau peristiwa tertentu.
Ros merah
Ros paling popular dan ia melambangkan cinta dan asmara, sekali gus sesuai untuk pasangan suami isteri atau kekasih.
Ada juga yang menghadiahkan ros merah kepada ibu tersayang kerana ia membawa simbolik kasih sayang mendalam.
Ros putih
Ia sering digunakan pada majlis perkahwinan kerana melambangkan permulaan baru, harapan dan kesucian.
Pada masa sama, turut digunakan dalam upacara pengebumian sebagai tanda takziah buat keluarga si mati.
Ros merah jambu
Dikatakan bunga ros ini mempunyai pengertian berbeza-beza.
Malah sering menjadi pilihan tepat untuk diberikan kepada teman rapat sebagai tanda persahabatan.
Ros ini juga sering dikaitkan dengan perlambangan kebahagiaan, kelembutan, cinta dan jiwa muda.
Ros jingga
Ros ini melambangkan semangat, tenaga dan kehangatan.
Warnanya yang menyerlah memberikan simbolik positif dan sesuai diberikan ketika sambutan hari lahir dan ulang tahun.
Ros kuning
Ia begitu sinonim dalam melambangkan persahabatan dan keprihatinan.
Bunga ini juga sesuai diberikan untuk menceriakan atau mengambil hati seseorang.
Ros hijau
Di negara kita mungkin ia kurang popular, tetapi bunganya yang hijau membawa makna harapan dan kesuburan.
Antara pilihan bunga ros paling sesuai diberikan kepada orang terdekat yang mahu menimang cahaya mata atau baru melahirkan anak.
Tidak dinafikan ia juga membawa perlambangan keceriaan dan awet muda.
Bagaimanapun, ada sesetengah budaya mempunyai persepsi berbeza terhadap bunga ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd