asyikin.mat@hmetro.com.my
Pertemuan kali pertama dengan wanita ini berlaku secara kebetulan ketika penulis menghadiri satu program anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.
Tanpa melepaskan peluang, penulis menyatakan hasrat ingin menemu bual beliau untuk ruangan personaliti wanita Harian Metro.
Hasrat penulis disambut baik wanita ini dan sanggup meluangkan masa untuk sesi temu bual itu, meskipun jadualnya pada hari itu agak padat termasuk menghadiri mesyuarat.
Penulis tertarik untuk menemu bualnya kerana beliau adalah wanita pertama dilantik menjadi dekan fakulti berkenaan sejak 2022.
Selain itu, Profesor Madya Dr Hazlina Abdul Halim antara kelompok kecil ahli akademik di Malaysia memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) yang mahir bahasa Perancis.
Menurutnya, beliau mahir bahasa berkenaan bermula dengan mengikuti program persediaan untuk melanjutkan pengajian di Perancis.
“Saya mengambil masa setahun untuk mahir bahasa berkenaan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan antarabangsa peringkat ijazah sarjana muda.
“Pada peringkat awal untuk mempelajari bahasa ini agak rumit kerana strukturnya yang kompleks.
“Tetapi, kemahuan dan kesungguhan untuk menguasai bahasa ini menjadikan proses pembelajarannya lebih mudah,” katanya.
Wanita kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini berkata, kerjayanya di UPM bermula sebagai tenaga pengajar bahasa Perancis selama 10 tahun sebelum dilantik menjadi pensyarah selepas memiliki PhD.
“Menerusi program bahasa Perancis di UPM, saya sudah melahirkan kira-kira 800 penuntut mahir bahasa Perancis daripada 23 kumpulan kohort.
“Bahasa Perancis ialah bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ramai tidak mengetahui fakta ini,” katanya.
Jelasnya, boleh dikatakan bahasa Perancis mempunyai tahap prestij yang agak tinggi berbanding bahasa Eropah lain.
“Saya tidak memperkecilkan bahasa Eropah lain kerana setiap bahasa ada kekuatan dan keunikan tersendiri.
“Jika melihat daripada kaca mata dunia, bahasa Perancis dianggap berpestij agak tinggi kerana di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) diangkat sebagai bahasa rasmi PBB,” katanya.
Wanita berusia 50 tahun itu berkata, dilantik menjadi dekan adalah perkara di luar jangkaannya yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.
“Namun begitu saya menghargai peluang diberikan dan berusaha memikul tanggungjawab besar ini sebaiknya.
“Sasaran peribadi sebagai dekan ialah mahu mengangkat ranking subjek fakulti ini ke tahap lebih tinggi.
“Saya juga mahu mengangkat keterlihatan fakulti ini ke mata dunia. Sekarang sudah ke arah itu, tetapi mahu ia lebih diperluas dan diperhebatkan,” katanya.
Katanya lagi, tahun ini beliau menerima Anugerah Bakti Putra di atas perkhidmatan 20 tahun di UPM.
“Selain itu, kejayaan ini turut disumbang pencapaian peribadi atas kejayaan mengukuhkan program bahasa Perancis.
“Selain disebabkan program bahasa Perancis adalah salah satu program di bawah kluster bahasa moden yang berada di kedudukan 200 terbaik dunia berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking terkini,” katanya.
Menyentuh mengenai pemerkasaan wanita Dr Hazlina berkata, wanita tidak seharusnya bersaing untuk menandingi lelaki kerana mereka dikurniakan kebijaksanaan dan kepandaian berbeza.
“Kelebihan diri mereka yang paling utama ialah keupayaan melaksanakan lebih daripada satu tugas dalam satu masa.
“Perkara ini (kelebihan diri) sudah diakui sejak zaman dahulu yang mana terbukti mereka cemerlang dalam pelbagai aspek.
“Wanita tidak perlu mencabar kehebatan lelaki, sebaliknya memberi fokus kekuatan diri dan mereka tidak mahu dipandang rendah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd