SHAH ALAM: Denda RM100,000 dan penjara minimum lima tahun akan dikenakan kepada pihak yang melakukan aktiviti pelupusan sampah secara haram apabila kerajaan negeri meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tidak lama lagi.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri dan persekutuan masih di peringkat rundingan untuk meratifikasi akta tersebut bagi memastikan pengurusan dan pelupusan sampah lebih baik berbanding sedia ada.
“Akta 672, kalau kita berjaya meratifikasi akta tersebut, kita akan gunakan undang-undang yang ada di dalam akta tersebut untuk melaksanakan penguatkuasaan dan hukuman sehingga RM100,000 dan penjara tidak kurang lima tahun.
“Itu akan kita dapat tangani untuk penguatkuasaan dalam pemakaian Akta 672 tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada penggulungan perbahasan Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu, beliau mengakui kelemahan dalam Undang-Undang Kecil Pungutan, Pembuangan Sampah dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000.
“Tetapi memang RM1,000 sahaja denda, ia adalah undang-undang sedia ada. Justeru, undang-undang itu secara jujurnya memang tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan pembuangan sampah secara haram. Sebab kompaun terlalu ringan,” tambahnya.
Terdahulu, ADUN Ijok, Jefri Mejan ketika mencelah dalam penggulungan oleh Suee Lim mempersoalkan nilai RM1,000 atau RM2,000 memadai sebagai kompaun yang dikenakan kepada orang yang tidak bertanggungjawab membuang sampah, kerana nilainya terlalu kecil.
Pandangan tersebut dipersetujui ADUN Kuang, Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah yang mendakwa operasi pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram berhampiran Kampung Orang Asli di Hulu Kuang menelan belanja lebih RM100,000.
“Bomba dan agensi lain terpaksa berkampung selama sembilan hari lapan malam untuk memadam kebakaran. Lebih menarik, kedalaman sampah-sampah yang ditimbunkan itu mencecah 30 kaki, jadi terpaksa bawa jengkaut untuk korek dan sebagainya.
“Berkenaan dengan denda dikenakan sebanyak RM1,000 dan RM2,000 sedangkan agensi dan semua pihak yang berkampung selama sembilan hari lapan malam terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM100,000 untuk usaha memadam kebakaran itu sahaja,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 2,634 lokasi tapak pelupusan sampah haram telah ditutup sepanjang tahun lalu dengan anggaran jumlah sisa yang dibersihkan adalah sebanyak 1,500 tan.
Malah di Selangor, Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim mendakwa lebih 100 tapak pelupusan sampah di negeri ini dan 57 daripadanya dikenal pasti aktif.
Selain itu, akhbar ini turut melaporkan sebuah tapak sampah haram semakin melebar daripada kira-kira 20 hektar kepada 52 hektar dekat Kampung Seri Sentosa yang didakwa berlarutan lebih 10 tahun dan mengancam penduduk sekitar. – UTUSAN