SIC mahu pastikan Qabil Irfan terus cemerlang

SIC mahu pastikan Qabil Irfan terus cemerlang

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan memastikan Qabil Irfan Azlan mengecapi kejayaan besar pada musim ini selepas melabelkan pelumba berusia 13 tahun itu sebagai pelumba paling berbakat dimiliki negara ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, Qabil meyakinkan pihaknya setakat ini apabila memenangi kedua-dua perlumbaan Pusingan 1 ESBK Talent di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 dekat Litar Jerez, Sepanyol, awal bulan ini.

Jelas Azhan, dengan bantuan pihak di sekeliling Qabil termasuk di bawah seliaan pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, pelumba kelahiran Terengganu itu mampu menghadirkan sesuatu yang cukup bermakna tahun ini.

“Harap dia boleh kekalkan momentum pada perlumbaan selepas ini. Kami di SIC mahu dia mempamer aksi paling terbaik tahun ini.

“Tahun lalu adalah tahun pertamanya di ESBK. Saya rasa Qabil sudah tahu selok-belok perlumbaan di saingan itu dan ia penting bagi seseorang pelumba.

“Kita boleh nampak Qabil semakin matang sekarang. Insya-Allah di bawah naungan SIC Racing dan Zulfahmi, dia mampu raih keputusan lebih baik.

“Saya rasa bukan Zulfahmi sahaja, sokongan orang sekeliling termasuk ibu bapanya amat penting. Kita boleh lihat bagaimana bapanya banyak membantu anaknya. Harap kita boleh lahirkan lebih banyak pelumba berbakat seperti Qabil.

“Diharap juga dengan kejayaan Qabil, kami dapat tarik minat lebih banyak lagi syarikat swasta untuk memberi sokongan kepada pelumba berbakat negara,” katanya mengenai pelumba yang beraksi bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu.

Qabil selepas ini dijadual mengharungi pusingan pembukaan FIM MiniGP Malaysia di Litar Antarabangsa Karting LYL yang bakal berlangsung Sabtu dan Ahad ini, sebelum kembali ke Sepanyol bagi menghadapi Pusingan 2 ESBK Talent pada Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top